Sultan Selangor murka terhadap MFL, kecewa dengan Hamidin

Denda yang dikenakan terhadap Selangor FC dianggap tiada empati atas kezaliman yang berlaku kepada pemain Selangor dan kebangsaan, Faisal Halim

4:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat murka terhadap keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana mengenakan hukuman tidak masuk akal ke atas Selangor FC.

Baginda juga menyatakan rasa dukacita dan kecewa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), terutama Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin kerana tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan yang berlaku terhadap pemain.

Sultan Selangor menganggap, denda keterlaluan ke atas Gergasi Merah kerana tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu sebagai tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap penyerang Selangor serta kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Berikut kenyataan penuh Sultan Selangor:

Berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei (Selangor FC telah memohon penangguhan), Beta mengambil maklum dan telah membaca di media sosial serta suratkhabar.

Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beta terkejut dan kecewa kerana Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum in merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Iris Shah (D.S. I.S.) daripada Beta.

Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim.

Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

Disebabkan itu, Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata seta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tapa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempo itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

Harus diingati, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukar bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.

Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat in dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati. – 26 Jun, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related