‘Musibah’ menanti Malaysia jika badminton gagal raih pingat di Olimpik Paris?

Seandainya badminton gagal menyumbangkan pingat dalam Olimpik tahun ini, Malaysia berisiko mengulangi detik hitam 20 tahun lalu iaitu pulang tangan kosong pada temasya sukan terbesar dunia itu

8:00 PM MYT

Ā 

KUALA LUMPUR – Seandainya badminton gagal menyumbangkan pingat dalam Olimpik Paris tahun ini, kontinjen negara berisiko mengulangi detik hitam 20 tahun lalu iaitu pulang tangan kosong pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagi bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, beliau memang amat berharap ada sukan lain mampu menghadirkan kejutan buat Malaysia, namun untuk bersikap realistik, harapannya di Paris hanya terarah kepada badminton.

Katanya, memburu emas Olimpik buat kali pertama dalam sejarah kekal sebagai sasaran Malaysia apabila bersaing pada edisi ke-33 temasya yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Begitupun, melihat kepada prestasi ‘sederhana’ sukan negara sejak beberapa tahun ini, tidak pulang tangan kosong dianggap satu pencapaian baik.

Apa yang paling menakutkan sebenarnya adalah melihat detik di Athens 2004 berulang, iaitu kali terakhir kontinjen negara gagal memenangi sebarang pingat.

Sejak itu, Malaysia sentiasa pulang bersama pingat bermula di Beijing 2008 (satu perak menerusi Datuk Lee Chong Wei, badminton), manakala di London 2012 kita menang satu perak serta satu gangsa. Pencapaian di Rio 2016 paling cemerlang dengan empat perak dan satu gangsa, sementara di Tokyo 2020 satu perak dan satu gangsa berjaya diraih.

Bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap ada sukan lain mampu menghadirkan kejutan buat Malaysia pada Olimpik Paris kerana ketika ini, secara realistik harapan terbaik negara untuk meraih pingat emas hanya menerusi badminton. – Gambar Scoop, 6 Jun, 2024

“Sudah tentu badminton masih menjadi sandaran utama dalam mengejar pingat khususnya emas pertama negara. Kita tidak boleh meletakkan sasaran tinggi buat (Datuk) Azizulhasni (Awang) yang pastinya akan berdepan tekanan lebih besar ekoran ‘pysical disadvantages’ kerana usianya, selain masalah kesihatan yang dihadapi.

“Suka tak suka memang hanya badminton yang mungkin boleh kita letakkan harapan sebenarnya.

“Sejak Beijing 2008 lagi, kita memang berharap kepada satu sukan iaitu badminton sebagai sasaran pingat Olimpik. Selepas Beijing 2008, barulah kita berjaya membuka peluang dalam sukan lain seperti terjun dan berbasikal,” kata Shapawi kepada Scoop.

Biarupun sudah menginjak usia 36 tahun dan diuji dengan masalah jantung pada 2022, Azizulhasni, pemenang pingat perak (Tokyo 2020) dan gangsa (Rio 2016) dalam acara keirin meletakkan sasaran emas pada penampilan kelimanya di Olimpik.

Juara dunia 2017 itu akan mengetuai saingan berbasikal trek bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, manakala trio pecut wanita dalam senarai pertama menunggu. Basikal juga mempunyai wakil dalam acara lebuh raya menerusi Nur Aisyah Mohd Zubir.

Pada usia menginjak 36 tahun dan diuji dengan masalah jantung, Datuk Azizulhasni Awang (kiri) menyasarkan pingat emas di Paris. Kayuhan bekas juara keirin dunia itu dalam saingan trek akan ditemani Shah Firdaus Sahrom (kanan) serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. – Gambar kombo Scoop, 6 Januari, 2024

Pada 10 Mei lalu, badminton pula mengesahkan lima tiket diketuai juara Terbuka Thailand, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Badminton telah menyumbangkan sembilan pingat Olimpik keseluruhan buat Malaysia sejak sukan itu membuat penampilan sulung di Barcelona 1992, di mana kita meraih gangsa menerusi pasangan adik-beradik, Razif-Jalani Sidek.

Kata Shapawi, beliau berharap sukan lain lebih agresif untuk meningkatkan daya saing dan bukan sekadar berpuas hati layak ke Olimpik.

“Sukan-sukan lain yang saya anggap penumpang seperti angkat berat, menembak, pelayaran perlulah lebih agresif untuk melonjakkan prestasi mereka setanding dengan atlet antarabangsa dan tidak menyertai Olimpik sebagai penumpang lagi.

“Olimpik bukan setakat mencapai tahap prestasi lebih baik daripada prestasi semasa sebaliknya perlu dijadikan sasaran prestasi luar biasa buat mereka. Jadikan Olimpik sebagai tempat untuk kita menempatkan diri dalam kalangan mereka yang terbaik di dunia,” katanya.

Selain badminton dan berbasikal, atlet lain yang sudah mengesahkan tiket ke Paris adalah dua daripada pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif, satu angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan, Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Johnathan Wong (menembak) serta Bertrand Rhodict Lises (terjun).

Olahraga bakal menyenaraikan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk mengisi tiket wild card (jemputan) sekiranya bintang 100 meter itu gagal secara merit.

Tempat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi dalam acara 100 meter sudah terjamin kerana dia akan diberikan tiket wild card andai tidak layak ke Olimpik secara merit. – Gambar Bernama, 6 Jun, 2024

“Seandainya kita gagal memenangi sebarang pingat di Paris, itu tidak sepatutnya menjadi halangan untuk kita menggerakkan program lebih aggresif sebagaimana yang kita lakukan selepas Athens 2004 hingga menyaksikan kita hampir mencapai sasaran pingat emas di Rio 2016 melalui tiga perlawanan akhir badminton,” kata Shapawi.

Shapawi juga mengakui, andai ‘musibah’ 20 tahun lalu menimpa kontinjen negara dan tiada pingat dibutirkan di Paris, ia akan menjadi perdebatan hebat, apatah lagi jutaan ringgit telah dibelanjakan dalam program Road to Gold (RTG).

Begitupun tegasnya, emas di Paris tidak sepatutnya dijadikan ‘sasaran terbesar’ (ultimate term) RTG kerana sejak awal lagi beliau agak keberatan menjadikan pemburuan pingat emas Olimpik 2024 sebagai sasaran utama Projek, sebaliknya lebih melihat kepada Los Angeles (LA) 2028.

“Saya melihat kepada Projek tersebut dijadikan asas bagi melayakkan kita melakukan pendekatan agresif ke arah melayakkan atlet ke Paris 2024 dan hakikatnya Projek tersebut turut meletakkan sasaran sehingga LA 2028.

“Apa yang perlu dilakukan adalah persiapan mesti dilakukan ke arah LA 2028 bagi menggerakkan program lebih agresif untuk meningkatkan prestasi atlet pelapis dengan lebih cepat lagi.

“Kita sepatutnya telah pun mempunyai barisan atlet pelapis yang akan kita kerahkan ke arah kelayakan LA 2028 supaya kita tidak berhadapan dengan situasi yang lebih sukar dari edisi 2024,” katanya. – 6 Jun, 2024

Topics

Ā 

ā—‰ Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

ā—‰ Related