KUALA LUMPUR – Malaysia meneruskan misi memburu kejuaraan ketiga dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas melangkah mudah ke separuh akhir acara berpasukan dengan menumbangkan India 2-0 di Stadium Titiwangsa hari ini.
Trio utama negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias meraih mata pertama selepas mengetepikan cabaran Ramkumar Sharma, Henary Singh Wahengbam serta Longkhon Singh Elambam 15-3, 15-11.
Gandingan Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Shahalril Aiman Halim mengesahkan kemenangan Malaysia apabila mudah menumpaskan lawan 15-5, 15-12.
![25052024-Team-B-Malaysia-vs-India-di-Istaf-Sepaktakraw-World-Cup-Kuala-Lumpur-2024-ALIF-OMAR_10](https://www.scoop.my/canon/uploads/2024/05/25052024-Team-B-Malaysia-vs-India-di-Istaf-Sepaktakraw-World-Cup-Kuala-Lumpur-2024-ALIF-OMAR_10-1024x682.jpg)
Selepas mengungguli acara beregu dan regu dunia, Rabu lalu, Malaysia meneruskan perjuangan dalam acara berpasukan dengan menentang Indonesia dalam separuh akhir malam ini.
Menurut tekong utama negara, Syahir, dia mahu membalas dendam ke atas skuad Garuda yang menumpaskan pasukan negara dalam final Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.
“Indonesia sebuah pasukan yang kuat selain mempunyai pemain berkualiti dan semangat juang tinggi, jadi kita kena berjaga-jaga dan tidak terlalu yakin.
“Kami tahu mereka bukan lawan yang mudah dan akan cuba sedaya-upaya untuk melangkah ke final,” katanya.
Sementara itu, gergasi sepak takraw dunia, Thailand seperti dijangka menewaskan Jepun 2-0 untuk menempah pertemuan separuh akhir bertemu Korea Selatan yang menewaskan Vietnam 2-1 padai suku akhir.
Perlawanan separuh akhir masing-masing akan berlangsung pada 8 malam ini. — 25 Mei, 2024