KUALA LUMPUR — Sorakan padu lebih 1,000 penonton di Stadium Titiwangsa akan digunakan skuad negara untuk membakar semangat mereka apabila berdepan musuh tradisi, Thailand dalam final regu dan beregu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 malam ini.
Thailand hadir ke Malaysia dengan misi membolot semua acara yang dipertandingkan iaitu regu, beregu dan berpasukan, namun apit kiri skuad regu negara, Mohamad Azlan Alias menegaskan, semangat rakan-rakannya untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri cukup membara.
Semalam, kedua-dua skuad regu dan beregu negara melayakkan diri ke final selepas menyingkirkan Myanmar pada separuh akhir, dan Azlan melaungkan keazaman untuk mengulangi kejayaan sama di pentas akhir malam ini.
“Piala Dunia adalah tahap tertinggi dalam sukan kita, Malaysia pula tuan rumah. Siapa yang tak nak menang?
“Keinginan kami untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri amat tinggi,” katanya yang bergandingan dengan Farhan Adam (apit kanan) dan Mohammad Syahir Rosdi (tekong) ketika menumpaskan Myanmar.

Dalam saingan beregu, bekas perunding kejurulatihan negara, Seksan Tubtong dijangka menjadi ‘duri dalam daging’ buat Malaysia dan dia akan memperkuatkan skuad Thailand bersama Kittiphum Sareebut.
Mereka adalah lawan yang menggerunkan dan kali terakhir duo negara Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi menentang pasangan itu, beregu Malaysia tumpas 0-2.
Bagaimanapun, perejam skuad beregu negara, Noraizat berkata, pertahanan adalah perkara paling penting untuk berjaya menentang beregu Thailand.
“Bertemu dengan Thailand akan lebih mencabar untuk dapat kemenangan.
“Tapi apa pun kami akan cuba sehabis baik dan akan memberikan 100% usaha menentang mereka.
“Pertahanan akan menjadi elemen yang paling penting menentang Thailand kalau mahu berjaya,” katanya.

Ketua Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui ada beberapa perkara yang perlu dibaiki oleh kedua-dua skuad negara jika mahu menjulang kejuaraan Piala Dunia di laman sendiri.
“Kita perlu kemaskan dari segi konsistensi dan pertahanan, dua elemen ini antara perkara yang penting dalam sepak takraw.
“Kalau barisan pemain kita dapat memperkemaskan elemen tersebut saya percaya tak ada perkara yang mustahil dan mampu memberi satu saingan yang sengit kepada Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menuntut anak-anak buahnya supaya jangan terlalu memandang tinggi terhadap lawan supaya dapat memberikan saingan dan lantas mengejutkan skuad Gajah Perang itu pada final malam nanti.
Skuad beregu akan turun pada jam 8 malam, manakala pasukan regu akan turun jam 9.30 malam ini.— 22 Mei, 2024