KUALA LUMPUR — Kapten beregu negara, Aidil Aiman Zawawi tidak merasakan penampilan bekas perunding skuad negara dari Thailand, Seksan Tubtong dalam Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa akan memberi impak besar jika bertembung dengannya.
Seksan dilantik sebagai perunding Malaysia bermula Januari lalu untuk membantu Ketua Jurulatih, Ahmad Jais Baharun mempersiapkan skuad negara untuk saingan Piala Dunia kali ini.
Bagaimanapun, beliau dipanggil oleh Ketua Jurulatih Thailand, Suphaloek Kimthong untuk memperkuat barisan pasukan negara Gajah Putih itu pada bulan lepas.
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kemudian membatalkan kontrak Seksan serta merta selepas mengetahui tentang perkara itu.
Menurut Aidil Aiman, ia bukan masalah besar sekiranya Malaysia bertembung dengan Thailand yang diketuai Seksan di pentas final nanti.
“Saya dan Noraizat Nordin akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kami mengalahkan Thailand.
“Bagi saya tak ada masalah jika bemain menentang Seksan nanti, kami akan cuba keluarkan apa yang kami ada dalam gelanggang nanti,” katanya.
Aidil Aiman dan Noraizat pernah bertembung dengan Seksan bersama gandingannya, Kittiphum Sareebut pada 7 April lalu dalam saingan Piala Puteri Diraja Thailand Ke-35 yang menyaksikan pasangan negara itu tewas 8-15, 13-15.
Mengulas lanjut, Aidil Aiman berkata, gandinganya bersama Noraizat sudah bertambah baik kerana skuad negara melakukan persiapan rapi bagi mendepani cabaran hebat di kejohanan ini.
Ditanya pilihan sama ada mahu berdepan Indonesia atau Myanmar pada separuh akhir, Aidil Aiman berkata, skuad negara lebih suka untuk berdepan dengan Myanmar berbanding Indonesia di peringkat empat terakhir itu.
“Bagi saya elok lawan Myanmar kerana Noraizat mempunyai kelebihan untuk ‘blok’ rejaman apit kanan Myanmar.
“Dengan Indonesia pula kita ada rekod kurang baik berdepan dengan mereka,” katanya. — 20 Mei, 2024