KUALA LUMPUR — Regu negara mudah mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas melakar kemenangan kedua dengan menumpaskan Brunei di Stadium Titiwangsa malam ini.
Dibarisi apit kiri Farhan Adam, tekong Mohammad Syahir Rosdi dan apit kanan, Azlan Alias skuad negara mempamerkan aksi memukau untuk mudah menumbangkan lawan 15-7, 15-7 dalam masa 43 minit.
Brunei yang diwakili Hafizzuddin Jamaludin (apit kiri), Aliffuddin Jamaludin (Tekong) dan Zatie Hidayat Saidi bergelut untuk mencari penyelesaian kepada servis Syahir dan rejaman Azlan.
Berdepan kedudukan selesa di set kedua, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengambil keputusan merehatkan Azlan dan Syahir dengan memasukkan Shahalril Aiman Halim dan Haziq Hairul Nizam.
Kedua-dua mereka membalas kepercayaan Ahmad Jais dengan mempamerkan aksi terbaik diiringi sorakan lebih 1,000 penyokong negara yang diketuai Ultras PSM.

Syahir mengakui, bermain di hadapan sokongan padu penyokong memberikan debaran yang berlainan dan perlu terus berjaga-jaga walaupun berdepan lawan yang dilihat sebagai mudah seperti China dan Brunei.
Dia juga berkata, dalam persembahan hari ini tiada peningkatan mendadak ditunjukkan pasukan negara berbanding semalam tetapi mengakui, ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk berdepan lawan yang lebih mencabar.
“Daripada segi bertahan dan libasan, kami boleh perbaiki lagi. Lagi-lagi dengan servis tunggal ini saya kena lebih berhati-hati.
“Kalau boleh kena elakkan sangkut di jaring kerana kita akan buang mata di situ,” katanya selepas tamat perlawanan.
Syahir menambah kehadiran penyokong yang memenuhi ruang stadium banyak membantu skuad negara beraksi dengan baik.

“Sudah lama kami tidak merasai suasana sorakan padu seperti ini, kali terakhir saya rasa ialah semasa Sukan SEA 2017 di sini juga.
“Untuk perlawanan seterusnya kita tengok nanti Malaysia akan menentang siapa, tetapi mentaliti kami pasukan mana pun yang kita hadapi, kita akan anggap macam lawan Thailand dan berikan sehabis baik,” tambahnya
Tekong tinggi lampai itu menambah, sistem servis tunggal baharu ini juga menghapuskan kelebihan negara-negara yang mempunyai servis padu dan konsisten.
“Mana-mana pemain yang leka, walaupun mereka berada di tahap yang tinggi… mereka juga boleh kalah.
“Sistem baharu ini tidak menjejaskan servis saya tapi bila mata rapat tekanan yang dirasai itu berbeza berbanding sistem sebelum ini,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang memiliki ketinggian 1.92 meter.
Semalam, Malaysia menumpaskan China 15-6, 15-7, dan dua kemenangan yang dilakar menyaksikan regu negara akan berdepan naib juara Kumpulan C sama ada Korea Selatan, Filipina atau Singapura pada suku akhir, Selasa ini. — 19 Mei, 2024