KUALA LUMPUR — Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) digesa mewujudkan program bagi menyerap atlet muda negara agar bakat mereka tidak disia-siakan.
Jurulatih pasukan berbasikal lebuh raya kebangsaan, Mohd Yusof Nasir ketika dihubungi Scoop berkata, ini kerana ada trend membimbangkan melibatkan nasib atlet berbasikal apabila mereka mencecah usia 21 tahun.
“Selepas mereka berusia 21 tahun dan tidak lagi boleh mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (Sukma), sebahagian besar atlet ini akan berhenti bersaing kerana tidak lagi menerima sokongan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN).
“Jika bernasib baik mereka akan diserap ke program MSN atau menyertai pasukan profesional. Jika tidak, mereka terpaksa bekerja untuk menyara hidup atau menyambung pelajaran.
“Tapi rugilah kerana mereka dilatih dari umur 13 atau 14 tahun dan bakat mereka akan sia-sia begitu sahaja,” kata Yusof.
Justeru, Yusof meminta MSN dan PKBM supaya mewujudkan program khas agar bakat pelatih itu tidak sia-sia dan dalam masa sama mereka mempunyai peluang untuk mengembangkan karier dalam sukan berbasikal lebuh raya.
“Saya mohon agar mereka tidak dianaktirikan. Mereka boleh menjadi pelapis untuk kejohanan seperti Le Tour de Langkawi kerana bukan mudah untuk mendapatkan pelumba bagi kejohanan tersebut.
“Malah tahun depan akan berlangsung kejohanan Sukan SEA di Thailand dan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 2027. Kita boleh asah bakat pelumba kita dari sekarang untuk memastikan kejayaan di laman sendiri,’’ katanya.
Sementara itu, Yusof juga mendedahkan program berbasikal lebuh raya di bawah kendaliannya tidak termasuk dalam program MSN dan perlu mencari dana sendiri untuk bertanding.
“Kalau perlukan bantuan saya boleh hantar permohonan tapi belum tentu boleh lulus kerana kami tiada dalam apa-apa program di MSN.
“Kami bertanding atas nama negara dan saya nak orang pandang apa yang kami buat ini boleh ditambah baik dan disokong dengan lebih baik. Tapi saya tak nak tunjuk susah sangat sebab nanti orang menuding jari pada pihak terbabit.
“Saya tak salahkan PKBM dan MSN kerana masing-masing ada masalah tersendiri tetapi saya tidak tahu pada siapa untuk mengadu sekiranya memerlukan bantuan,’’ katanya. – 5 Mac, 2024