Afif dedikasikan kejayaan Qatar, hatrik kepada isteri tercinta

Ini kali pertama isterinya yang berasal dari Kuwait datang menonton perlawanan di stadium

9:44 AM MYT

 

LUSAIL – Penyerang sensasi Qatar, Akram Afif yang meledak hatrik kemenangan mendedikasikan kejayaan The Maroons mempertahankan kejuaraan Piala Asia 2023 malam tadi, kepada isterinya.

Pemain berusia 27 tahun, mewakili kelab liga tempatan, Al Sadd, itu juga mendedahkan kad yang ditulis huruf “S” yang ditunjukkan ketika meraikan jaringannya adalah permulaan huruf nama isterinya yang merupakan warganegara Kuwait.

“Ia (S) adalah permulaan huruf nama isteri saya, dia orang Kuwait dan hari ini hari pertama dia ke stadium, ini perlawanan pertamanya.

“Saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua peminat Qatar dan saya juga nak beri semua anugerah yang diterima malam ini kepada isteri saya,” katanya yang kekal mahu merahsiakan identiti isterinya, pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Lusail di sini.

Tuan rumah mempertahankan kejuaraan bola sepak Asia itu selepas menewaskan Jordan 3-1 di depan ribuan penonton di Stadium Lusail.

Akram Afif mencium kad ‘S’ yang merupakan permulaan huruf nama isterinya yang berasal dari Kuwait. – Gambar Bernama, 11 Februari, 2024

Mengulas mengenai ketiga-tiga gol penalti yang berjaya disempurnakan dengan bergaya, Afif berkata, rahsianya bukan kerana teknik tetapi keyakinan yang hadir daripada sokongan yang diterimanya selama ini.

Afif dinobatkan penjaring terbanyak kejohanan selepas mengumpul lapan gol, membawa pulang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan dan pemain terbaik final.

Pada masa sama, Afif memuji Jordan dengan menyifatkan apa yang telah dilakukan skuad bimbingan Hussein Ammouta itu sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan susulan berjaya mencipta sejarah ke separuh akhir dan beraksi di final.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Qatar, Marquez Lopez berkata, perlawanan tersebut mungkin bukan final seperti yang dijangkakan tetapi masih gembira dengan kejayaan itu yang menyaksikan ia gelaran pertamanya sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.

“Ia perlawanan yang sukar, sangat sengit, mungkin ia perlawanan bola sepak yang cantik seperti kami harapkan tetapi saya gembira dengan kemenangan ini dan saya gembira dengan Afif atas semua anugerah yang dimenanginya, dia layak untuk diberikan semua gelaran itu,” kata jurulatih dari Sepanyol berusia 62 tahun.

Pada final tersebut, Qatar mendahului menerusi penalti Afif pada minit ke-22, namun Yazan Al-Naimat menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-67 sebelum Afif menyudahkan dua penalti masing-masing pada minit ke-73 dan 90+5 untuk mengesahkan kemenangan pasukan. – 11 Februari, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related