Gagal bawa Speedy Tigers ke Olimpik, Arul serah nasib kepada MHC

Jika tidak lagi diperlukan oleh skuad kebangsaan, Arul akan pulang ke Dublin, Ireland untuk bersama keluarga dan menguruskan akademi hokinya

11:28 AM MYT

 

SEPANG – Ketua Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj menerima sebarang keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengenai kedudukannya selepas Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, Arul berkata, beliau akan berjumpa Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal bagi membincangkan sama ada masih diberi mandat untuk mengendalikan pasukan negara yang digelar Speedy Tigers atau tidak.

“Sepatutnya tugas saya hingga 31 Disember lepas, tapi saya sambung hingga kelayakan (Sukan Olimpik Paris 2024), selepas ini saya bincang dengan Subahan itu sahaja.

“Sekiranya kami boleh sambung untuk bekerjasama, saya okey, kalau tiada saya boleh bergerak ke hadapan, Subahan banyak pasukan sokongan, jadi saya serah kepada beliau untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Terdahulu, skuad Speedy Tigers yang menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di kedudukan kelima di Muscat, Oman selamat tiba di tanah air awal pagi tadi.

Malaysia gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas menamatkan kempen kelayakan di tangga kelima. – Gambar FIH, 23 Januari, 2024

Pasukan negara sebelum itu gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (empat mata) dan China (tiga mata), baru-baru ini.

Dalam pada itu, Arul berkata, beliau sudah mempunyai perancangan tersendiri buat pasukan kebangsaan sekiranya badan induk hoki negara itu masih memberi peluang kepadanya untuk terus membimbing Speedy Tigers.

Katanya, beliau bersedia untuk mencurahkan idea dan perancangannya itu kepada presiden ketika sesi pertemuan mereka kelak.

“Kalau tak sambung dengan pasukan kebangsaan saya akan pulang ke Dublin, Ireland, saya ada akademi di sana balik dengan keluarga, tapi saya tak fikir semua itu, fokus saya, saya nak bincang dengan Subahan bagi tahu perancangan saya. Masih ada tugas belum selesai,“ katanya.

Arul telah membimbing skuad hoki lelaki negara sejak Ogos 2020 bagi menggantikan tugas bekas Ketua Jurulatih, Roelant Olthmans.

Kali terakhir hoki Malaysia beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya di Sydney 2000. – 23 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related