ALOR SETAR – Selangor FC dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2023 selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Status naib juara Liga Super itu sekali gus melayakkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe untuk beraksi pada Piala AFC musim depan.
Kemenangan tipis itu membolehkan Red Giants menghuni tangga kedua dengan 58 mata sebelum pertembungan terakhir liga menentang PDRM FC pada 17 Disember ini.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke kubu lawan, namun tiada jaringan dihasilkan pada babak pertama permainan.

Bersambung babak kedua, corak permainan Kedah dilihat serba tidak menjadi, manakala Selangor lebih menguasai permainan dengan melakukan beberapa hantar pendek dan berbahaya ke kubu Kedah.
Hasilnya, Red Giants berjaya mendapat gol yang dicari menerusi pemain import dari Colombia, Ayron Del Valle pada minit ke-64.
Gol tersebut terhasil menerusi kuisan cantik bola lintang daripada Brendan Gan yang disambar Ayron dan menewaskan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah yang dibimbing Nafuzi Zain kembali mengatur serangan, namun keampuhan pertahanan Selangor berjaya mematahkan serangan Kedah.
Selangor berjaya mempertahankan satu jaringan yang dimiliki hingga tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan tempat untuk beraksi di Piala AFC musim depan. – 3 Disember, 2023