Gol Nik Muhammad Sharif bantu Terengganu raih bekalan tipis ke atas KL City

Kemenangan 2-1 itu belum meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus pada 3 Nov ini

9:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Terengganu FC (TFC) berjaya mengatasi tekanan beraksi di tempat lawan selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 yang berlangsung sengit di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras di sini, malam ini.

Pasukan pelawat bimbingan Tomislav Steinbruckner bermula garang apabila mendominasi 20 minit pertama permainan namun perlawanan menjadi seimbang selepas KL City mula merampas penguasaan sekali gus menghangatkan suasana.

Skuad Penyu memberi amaran pada minit ke-11 selepas pemain import Sony Norde yang berjaya memasuki kawasan penalti, membuat percubaan dari sebelah kanan yang menyaksikan bola hanya melintasi gawang sebelum dikeluarkan pemain pertahanan lawan untuk sepakan penjuru.

Selepas mendapat rentak, KL City kendalian Nenad Bacina tampil lebih proaktif dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-34 tetapi pemain sayap T. Saravanan gagal menyudahkan bola muntah selepas percubaan Muhammad Haqimi Azim Rosli gagal ditampan kemas penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.

Seakan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, penyerang import Terengganu, Ivan Mamut akhirnya memecah kebuntuan selepas menyempurnakan hantaran Nurillo Tukhtasinov dengan melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Kevin Ray Mendoza Hansen pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, KL City dan Terengganu terus menyajikan aksi seimbang namun intensiti perlawanan semakin meningkat yang menyaksikan pengadil Muhammad Usaid Jamal terpaksa melayangkan beberapa kad kuning atas kekasaran yang berlaku.

Keghairahan Terengganu menambah gol turut memaksa Kevin Ray Mendoza bekerja lebih keras menangkis percubaan ke arah gawang termasuk rembatan padu dari jarak dekat pemain gantian Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-67.

Terengganu memiliki peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-82, namun pemain tengah gantian Muhammad Syahmi Zamri gagal merembat kemas dalam situasi lawan satu berdepan Kevin Ray Mendoza selepas menerima hantaran lintang leret Mamut.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri serangan gawang pasukan tuan rumah akhirnya dibolosi buat kali kedua pada penghujung perlawanan selepas Nik Muhammad Sharif melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Kevin Ray Mendoza pada minit ke-89.

KL City berjaya merapatkan jurang pada masa kecederaan babak kedua apabila penyerang import Tchetche Kipre menyempurnakan sepakan penalti selepas Muhammad Syahmi menjatuhkan Sean Gan Giannelli.

Kemenangan 2-1 itu belum meletakkan Terengganu dalam keadaan selesa menjelang pertembungan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus pada 3 Nov ini.

Sebagai rekod, Terengganu pernah menjulang Piala Malaysia pada 2001 manakala KL City merupakan juara empat kali dengan kali terakhir menjulang trofi kejuaraan pada edisi 2021. – 22 Oktober, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

[UPDATED] Zayn Rayyan murder: Edisi Siasat’s leak draws police attention

S’gor top cop says they are looking into the matter while CID chief confirms cops investigating the Telegram channel with MCMC's help

Related