Isu rumput terkopak: FAM bertegas mahu venue lebih besar untuk Pestabola Merdeka

Difahamkan Stadium Sultan Ibrahim iaitu gelanggang rasmi pasukan bola sepak JDT merupakan salah satu pilihan untuk menganjurkan kejohanan itu

9:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tekanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengadakan kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil mencetuskan insiden memalukan apabila padang yang baru ditanam rumput mula terkopak.

Sumber yang rapat dalam arena bola sepak berkata, PSM sedang mempertimbangkan rancangan kontingensi sekiranya padang di stadium tersebut tidak bersedia untuk digunakan pada aksi pembukaan antara Malaysia dan India pada Jumaat lalu.

Difahamkan Stadium Sultan Ibrahim iaitu gelanggang rasmi pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan salah satu pilihan untuk menganjurkan kejohanan itu.

Bagaimanapun, FAM berkeras mahu perlawanan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil yang berupaya memuatkan seramai 87,000 penyokong kerana Stadium Sultan Ibrahim hanya boleh menampung 40,000 penyokong, kata sumber itu.

Menurut sumber, rumput jenis Zeon Zoysia yang digunakan di padang untuk perlawanan pembukaan belum tumbuh sepenuhnya di tapak semaian sebelum ia ditanam di stadium berkenaan.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menaja rumput jenis Zeon Zoysia, bahkan turut memaklumkan di media sosialnya bahawa padang tersebut sedia digunakan sekurangnya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Sumber itu berkata, rumput tersebut belum tumbuh sepenuhnya di tapak semaian, dan adalah mustahil untuk ia tumbuh dengan pantas sejurus sebelum kejohanan.

“PSM terpaksa membeli rumput siap dengan harga RM600,000 dari Thailand khusus untuk kejohanan tersebut.

“Perlawanan pada Jumaat mungkin tidak diadakan jika PSM tidak membuat keputusan itu,” kata sumber itu.

Tambah sumber, rumput siap itu belum sesuai digunakan untuk perlawanan, dan infrastruktur stadium tidak cukup merangsang pertumbuhannya

“Padang hanya 80-85 peratus bersedia digunakan untuk kejohanan, dan dengan keadaan cuaca, terutamanya hujan lebat dan kekurangan cahaya matahari, ia mencabar untuk rumput berakar.

“Walaupun bahagian tengah padang kelihatan hebat, rumput tidak menerima cahaya matahari penuh di belakang padang, terutamanya di bahagian sudut.

Sementara itu, Scoop difahamkan PSM membeli ‘grow light’ menjelang kejohanan tersebut yang mengambil masa tiga minggu untuk tiba di negara ini.

“Lampu tersebut tiba kira-kira empat hari lalu, dan tidak ada masa yang cukup untuk memberikan cahaya matahari ke atas rumput sebelum kejohanan.

“Dengan ‘grow light’ yang PSM ada ketika ini, padang itu akan dapat menjadi padang bertaraf dunia dalam beberapa bulan,” kata sumber.

Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi.

“Kami sedang dalam usaha menyelesaikan isu tersebut dan akan mengadakan mesyuarat esok (hari ini) untuk membincangkan langkah seterusnya berhubung padang berkenaan,” katanya.

Tahun lalu, Tunku Ismail bersetuju menaja kos pengubahsuaian bagi menggantikan padang rumput di Bukit Jalil dengan Zeon Zoysia bernilai RM1 juta kepada Harimau Malaya selepas kualiti padang itu diperhatikan dalam keadaan teruk semasa aksi kelayakan Piala Asia 2023.

Rumput jenis Zeon Zoysia yang ditanam di stadium itu juga digunakan di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri.

Difahamkan, anggaran kos pengubahsuaian padang itu mencecah RM1.5 juta, dan memerlukan RM300,000 untuk mengekalkan kualitinya.

PSM membelanjakan kira-kira RM4.7 juta sejak Jun tahun lalu ketika stadium itu menjalani kerja baik pulih, termasuk kerja penggantian sistem saliran padang, sistem elektrik stadium, pagar perlindungan, bilik persalinan dan kemudahan tandas.

Malaysia bakal menentang Tajikistan pada perlawanan akhir kejohanan Pestabola Merdeka edisi ke-42 pada Selasa ini. – 15 Oktober 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related