Sharul Aimy sanggup keluar duit sendiri sertai Piala Dunia Gimnastik Artistik demi buru slot Olimpik 2024

Kongsi atlet berusia 22 tahun itu lagi, jumlah kos keseluruhan yang diperlukan untuk menyertai kejohanan di empat negara dan persiapan ke Olimpik mencecah RM300,000

11:28 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Atlet gimnastik artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk menyertai kejohanan Piala Dunia Gimnastik Artistik FIG  bagi memburu mata kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2024. 

Menurut pemenang pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, dia perlu menyertai kejohanan tersebut dan memenangi pingat untuk melayakkan diri ke temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

“Saya memang berharap dapat pergi ke Olimpik kerana ini memang impian saya.  Tetapi saya perlu sertai Siri Piala Dunia terlebih dahulu. Tetapi untuk menyertainya memerlukan kos yang agak tinggi kerana ia berlangsung di empat negara.

“Pihak Majlis Sukan Negara (MSN) hanya boleh membiayai (kos) mungkin untuk ke dua negara sahaja kerana masih ada atlet lain yang akan turut serta. Selebihnya saya perlu ikhtiar sendiri.

“Kalau boleh saya memang nak pergi ke semua Siri Piala Dunia ini. Saya sanggup guna duit sendiri. Jika saya terlepas kejohanan kali ini, saya terpaksa tunggu edisi Olimpik seterusnya,” katanya ketika ditemui di majlis makan malam bersama pihak media di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.

Kongsi atlet berusia 22 tahun itu lagi, jumlah kos keseluruhan yang diperlukan untuk menyertai kejohanan di empat negara dan persiapan ke Olimpik mencecah RM300,000. 

Sharul berkata, dia turut berbesar hati jika ada pihak yang sudi menaja pembiayaannya untuk ke Siri Piala Dunia Gimnastik Artistik FIG.

“Saya juga punya impian untuk menjalani sesi latihan di Jepun kerana negara itu antara yang terbaik di Asia. 

Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam berjaya menamatkan kemarau pingat dalam acara itu selepas kali terakhir Malaysia menaiki podium 17 tahun lalu. – Helmi Anuar/Scoop, 7 Oktober, 2023

“Persaingan untuk Siri Piala Dunia agak sengit antara atlet dari Asia kerana ketika ini kebanyakan yang layak ke Olimpik adalah atlet dari Eropah kerana mereka sudah menyertai Kejuaraan Dunia (World Championship).

“Jadi ramai atlet dari Asia yang akan sertai Siri Piala Dunia tahun depan untuk melayakkan diri ke Olimpik,” katanya.

Bercerita mengenai kejayaannya meraih pingat gangsa di Sukan Asia selepas kali terakhir Malaysia menaiki podium 17 tahun lalu, Sharul berkata, dia memang menyasarkan pingat kerana pernah terlepas di beberapa temasya sebelum ini.

“Saya gagal meraih sebarang pingat di Sukan SEA, Komanwel dan Piala Dunia sebelum ini.  Jadi untuk Sukan Asia kali ini memang saya berazam untuk bawa balik pingat untuk Malaysia. 

“Saya memang bekerja keras untuk temasya kali ini kerana saya teringin mencipta sejarah dalam sukan gimnastik kerana seperti yang kita tahu, sukan ini masih belum dapat perhatian ramai pihak. 

“Persaingan untuk Sukan Asia kali ini agak hebat kerana kebanyakan finalis adalah pemenang di peringkat dunia. Saya takut sampai tak boleh tidur malam. 

“Tetapi Alhamdulillah, saya dapat fokus dan jalani latihan tanpa sebarang masalah. Biarpun sebelum ini saya mengalami kecederaan di kaki. 

“Jadi saya rasa sangat gembira dan bersyukur dapat menghadiahkan pingat gangsa untuk Malaysia dalam sukan gimnastik selepas 17 tahun,” katanya.

Sharul berkata, pengalaman mengalami patah kaki pada 2019 membuatkan dia hampir putus asa dalam sukan gimnastik. 

“Doktor cakap saya tak boleh jalan ketika itu. Ketika pandemik, saya berehat selama setahun untuk sesi pemulihan. Setiap kali jalani sesi fisioterapi saya akan menangis. Hampir setiap hari saya menangis.

“Tetapi tiba-tiba semangat itu datang kembali selepas saya dah boleh jalan. Doktor yang merawat saya dulu pun sebak bila lihat kejayaan saya di Sukan Asia,” katanya. 

Terdahulu, Sharul Aimy berjaya memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara melombol selepas meraih 14.466 mata.

Pingat emas dimenangi atlet Jepun, Wataru Tanigawa dan pingat perak pula milik atlet Iran, Mahdi Olfat.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat untuk acara itu pada Sukan Asia adalah pada 2006 menerusi Ng Shu Wai yang meraih pingat perak. – 7 Oktober, 2023

Topics

Popular

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related