HANGZHOU – Pemain perseorangan wanita negara K. Letshanaa mahu menjadikan pengalaman beraksi buat kali pertama di Sukan Asia Hangzhou 2022 sebagai landasan untuk meneruskan kebangkitannya dalam sukan badminton.
Walaupun berdepan lawan lebih hebat pada pusingan kedua, pemain negara berusia 20 tahun itu langsung tidak berasa gentar malah tekad mengutip pengalaman berdepan nama-nama besar di pentas Sukan Asia sebagai cara untuk memperbaiki prestasi.
Pada aksi di Gimnasium Binjiang semalam, Letshanaa yang menghuni ranking ke-60 dunia, terpaksa akur dengan kehebatan wakil Thailand Busanan Ongbamrungphan yang menduduki ranking ke-16 dengan 13-21, 10-21.
“Permainan tidak berlangsung seperti yang dirancang, tapi ia adalah bagus untuk berdepan pemain sebegini. Sekurang-kurangnya pemain mempunyai corak permainan berbeza, kita boleh belajar bagaimana untuk berdepan pemain di ranking atas dan mengenal pasti kelemahan.
“Walaupun saya telah bermain dengan beberapa pemain terbaik sebelum ini, namun ia sangat bagus untuk berdepan Busanan. Corak permainannya berlainan daripada pemain lain dari segi kekuatan. Masih banyak yang saya perlu tingkatkan,” katanya kepada Bernama.
Menurut Letshanaa, beraksi di Sukan Asia memberinya peluang untuk menguji tahap permainannya ketika berdepan beberapa jaguh badminton dunia.
“Nasihat jurulatih saya adalah untuk teruskan bermain, dan lakukan apa yang telah dipelajari ketika latihan. Jadi, mereka dapat kenal pasti kelemahan saya ketika berdepan pemain hebat dan latihan akan dilakukan untuk terus meningkat,” katanya.
Letshanaa akan beraksi di Terbuka Arctic, di Vanta, Finland pada 10 hingga 15 Okt ini. – 4 Oktober, 2023