Shila Amzah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Fuad Rahman dan Ryan Bakery antara peserta Famili Duo musim ke-3

Menurut penerbit eksekutif Famili Duo 3, agak sukar untuk pihak produksi memujuk beberapa peserta untuk bersetuju menyertai pertandingan ini

7:52 PM MYT

 

PUTRAJAYA — Program hiburan Famili Duo kembali lagi untuk musim ketiga dan akan bersiaran di TV3 bermula 15 Oktober ini, setiap Ahad jam 9 malam.

Kali ini enam pasangan famili telah dipilih untuk menyertai musim terbaru dan kebanyakan mereka merupakan penyanyi popular tanah air.

Mereka adalah pasangan adik-beradik, Shila Amzah dan Syahir, Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi, Ryan Bakery dan Adam Bakery, pasangan sepupu, Haqiem Rusli dan Arif Bahran serta pasangan suami isteri, Fuad Rahman dan Tom.

Bagaimanapun, pasangan peserta yang keenam hanya akan diumumkan sewaktu konsert pertama diadakan nanti sebagai elemen kejutan.

Hos untuk musim ini pula masih mengekalkan Janna Nick namun pasangannya digantikan dengan Izzue Islam yang mengambil alih tugas Sean Lee.

Mas Idayu dan Ajai masih dikekalkan sebagai juri profesional yang akan mengadili persembahan peserta setiap minggu.

Penerbit eksekutif Famili Duo, Muhamad Sufian Che Isa. – Gambar Scoop/Helmi Anuar, 30 September, 2023

Menurut penerbit eksekutif Famili Duo, Muhamad Sufian Che Isa, pihak produksi benar-benar bekerja keras untuk mendapatkan peserta bagi musim kali ini.

“Sangat susah untuk dapatkan peserta musim ini. Kru-kru kami terpaksa menebal muka kacau para peserta ini siang dan malam untuk proses berbincang.

“Bukan mudah untuk meyakinkan mereka menyertai pertandingan sebegini. Perlu dijelaskan objektif program ini. Dan akhirnya Alhamdulillah kita berjaya dapatkan peserta seperti Shila Amzah, Haqiem Rusli dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Famili Duo 3.

Sementara itu Shila Amzah memberitahu dia bertanya dulu pada pihak produksi sama ada program Famili Duo merupakan satu program yang akan memberikan tekanan buat peserta.

Pasangan adik beradik Shila Amzah dan Syahir sedia memberikan persaingan yang sihat dalam Famili Duo musim ini. – Gambar Scoop/Helmi Anuar, 30 September, 2023

“Itu yang saya tanya dulu kerana tahun lepas saya telah sertai pertandingan yang memberikan tekanan yang hebat. Saya tak mahu lalui lagi pengalaman seperti itu. Saya hanya mahu cari keseronokan dan terokai sesuatu yang baru.

“Antara sebab lain saya terima Famili Duo adalah sebelum ini saya jarang tampil bersama ahli keluarga saya. Jadi ini adalah peluang terbaik untuk saya tunjukkan bahawa saya juga punya adik beradik yang sama ‘wavelength’ dengan saya,” kongsinya.

Bagi Haqiem Rusli pula, penyertaannya dalam Famili Duo 3 adalah untuk mempelajari sesuatu yang baru dan mengetahui dimana kelemahan dalam nyanyiannya.

“Sebelum ini pertandingan yang saya selalu masuk pun seperti Anugerah Juara Lagu. Tiada juri profesional yang akan menegur kesalahan nyanyian saya.

“Mungkin dengan pertandingan Famili Duo ini saya dapat gali lagi apa yang saya ada serta perbaiki lagi kualiti suara saya,” katanya.

Haqiem Rusli pada mulanya agak keberatan menerima tawaran ini kerana dapat merasa tekanannya – Gambar Scoop/Helmi Anuar, 30 September, 2023

Kongsi Haqiem lagi, pada mulanya dia agak keberatan untuk terima tawaran ini kerana pernah menonton musim terdahulu dan dia dapat merasa tekanannya. Tambahan pula kritikan pedas yang diberikan juri pada peserta.

“Tetapi saya cuba sahut cabaran ini. Saya nak uji tahap ketahanan mental saya macam mana. Tambahan pula saya ada rakan duet. Jadi tak adalah saya rasa terlampau tertekan,” kongsinya.

Adira Suhaimi turut menyertai Famili Duo musim ini. – Gambar Scoop/Helmi Anuar, 30 September, 2023

Lagu duet ibarat makanan ruji buatnya, namun kata salah seorang peserta musim ini iaitu Adira Suhaimi, duet bersama penyanyi wanita adalah yang paling dinantinya selama ini.

“Memang saya selalu menyanyi lagu duet. Tapi saya tertunggu-tunggu untuk berduet dengan penyanyi wanita. Ketika dapat tawaran Familo Duo 3 saya terus setuju tanpa bertanya pada Emma terlebih dahulu.

“Saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk Emma. Dia punya suara yang sangat bagus malah lebih bagus dari saya,” katanya.

Biarpun sedang berbadan namun itu bukan halangan buat Tom untuk sertai Famili Duo 3 bersama suaminya Fuad Rahman.

Tom dan suami, Fud Rahman menerima lamaran untuk menyertai Famili Duo sejak sebelum berkahwin lagi. – Gambar Scoop/ Helmi Anwar, 30 September, 2023

“Berbadan dua tak jadi masalah buat saya. Ketika saya hamil dahulu, saya masih menyanyi di kelab sehingga dua hari sebelum bersalin.

“Sebenarnya tawaran untuk sertai Famili Duo ini telah hadir sebelum saya berkahwin dengan Fuad lagi. Ketika itu kami dalam persiapan untuk berkahwin.

“Bila dah sah sebagai suami isteri, saya ada tanya sama ada tawaran tersebut masih terbuka. Alhamdulillah rezeki kami untuk kembali menyertai pertandingan nyanyian.

“Selagi ada program yang inginkan kami, In Sha Allah kami akan sertai. Kami mahu cipta sebanyak mungkin kenangan bersama,” katanya.

Pemenang Famili Duo 3 bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM100,000. Pemenang duo terbaik setiap minggu pula akan membawa pulang RM10,000 yang akan ditentukan juri profesional sebanyak 70 peratus dan undian penonton 30 peratus. – 30 September, 2023.

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Aaron, Wooi Yik mean business: extra night training ahead of Paris Olympics

Women’s doubles pair Pearly Tan and M. Thinaah, mixed doubles duo Chen Tang Jie and Toh Ee Wei, will also participate

Related