KLIFAA 2024 ditunda ke November tanpa sebarang penjelasan

KLIFAA 2024 sepatutnya dijadual berlangsung di KLCC pada 7 hingga 11 Ogos ini

2:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hanya tinggal seminggu lebih sahaja lagi, namun bayang-bayang penganjuran Anugerah Akademi Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (KLIFAA 2024), nampaknya seolah-olah tidak akan menjadi kenyataan.

Apa tidaknya, sejak Mac lalu, tiada sebarang perkembangan terkini diterima daripada pihak penganjur mengenai penganjuran KLIFAA 2024 yang sepatutnya dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 11 Ogos ini.

Pada sidang media awal Januari lalu, pihak penganjur memaklumkan, penganjuran KLIFAA 2024 yang julung kali diadakan di negara ini bukanlah sekadar majlis anugerah.

Namun ia juga sebagai platform budaya untuk mempromosikan kepelbagaian, kecemerlangan artistik dan keterangkuman dalam industri produksi filem dan televisyen global.

Dengan menggunakan ‘Inspiring Brilliance, Igniting Passion’ sebagai temanya, KLIFAA 2024 juga bakal mengetengahkan program komprehensif festival termasuk tayangan filem, perbincangan panel, kelas pakar dan jaringan perniagaan.

Sebulan kemudian (Februari), penganjur mengumumkan bahawa KLIFAA 2024 mendapat sambutan hebat dengan meraih 3,135 penyertaan daripada 98 negara sejak pendaftaran dibuka pada 12 Januari.

Penyertaan diterima termasuk dari Indonesia, Thailand, Jepun, Korea Selatan, India, Bangladesh, Iran, Perancis, United Kingdom dan Mexico.

Penganjuran KLIFAA 2024 juga dikatakan mempunyai kapasiti untuk meningkatkan lagi taraf industri perfileman dunia dan Malaysia sebagai hab dunia filem pada masa akan datang.

Ironinya, laman web rasmi yang dikhususkan untuk KLIFAA 2024 juga sudah ‘lesap’.

Bagaimanapun, menerusi laman web www.filmfreeway.com, penganjuran anugerah ini dikatakan bakal berlangsung di lokasi sama tetapi dengan tarikh berbeza iaitu 8 hingga 10 November ini.

Berdasarkan maklumat dalam laman web tersebut, KLIFAA 2024 mempertandingkan 50 anugerah menerusi lapan kategori iaitu filem cereka, drama TV, Book2Screen, filem pendek, dokumentari, special mentions dan Anugerah P Ramlee.

Filem cereka menawarkan 14 kategori, drama TV (9 Kategori), Book2Screen (5 kategori), dokumentari (4 kategori), filem pendek (4 kategori), animasi (4 kategori), Special Mentions (7 kategori) dan Anugerah P Ramlee (7 kategori – Anugerah Pencapaian Seumur Hidup bagi filem dan TV).

Bersesuaian dengan keadaan semasa dan pergolakan dunia hari ini, tema keamanan menjadi tunjang kepada pembikin filem untuk meneroka elemen keamanan, perdamaian, keharmonian serta penyelesaian konflik.

Persoalannya, mengapa perubahan tarikh penganjuran ini tidak diumumkan dengan segera oleh pihak penganjur?

Jika benar KLIFAA ini ditunda ke tarikh baharu, apakah penjelasan pihak penganjur terhadap penundaannya? – 29 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

Ferrari sues Malaysian energy drink firm over alleged logo trademark infringement

Supercar manufacturer claims image of two horses used by drink company resembles its iconic horse emblem

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related