Celine Dion ubati kerinduan peminat di pembukaan Sukan Olimpik Paris

Superstar tersebut memukau ramai dengan nyanyian lagu klasik Edith Piaf berjudul L'hymne à l'amour

2:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Meremang bulu roma’ demikian pujian yang diberikan kepada Celine Dion yang membuat persembahan pada pembukaan acara Sukan Olimpik Paris 2024, awal pagi tadi.

Superstar tersebut memukau ramai dengan nyanyian lagu klasik Edith Piaf berjudul L’hymne à l’amour.

Persembahan itu juga merupakan yang pertama oleh Dion selepas dia didiagnosis sindrom orang kaku atau ‘stiff person syndrome’, empat tahun lalu.

Kali terakhir penyanyi My Heart Will Go On membuat persembahan secara langsung ialah di New Jersey pada Mac 2020.

Dion, 56, mengumumkan penyakit berkenaan pada Disember 2022 dan berehat seketika bagi memberikan fokus terhadap kesihatannya.

Ketika itu, Dion memaklumkan keadaannya tidak membolehkan dia ‘menyanyi seperti kebiasaannya’.

Sindrom orang kaku adalah perbezaan gerak autoimun yang mempengaruhi sistem saraf pusat, iaitu otak dan sumsum tulang belakang. Ia jarang berlaku dan mengambil masa bertahun-tahun untuk dikesan.

Dion tidak membenarkan penyakit berkenaan membataskan persembahannya di atas Menara Eiffel yang ikonik, diiringi seorang pemain piano.

Ini bukan persembahan pertama kalinya pada kejohanan berprestij itu, sebaliknya Dion pernah menyanyikan lagi The Power of the Dream pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Dalam pada itu, menerusi akaun X, Dion menyatakan kegembiraannya kerana dapat membuat persembahan dalam kejohanan besar itu dan pada masa sama dapat kembali ke salah satu bandar kegemarannya.

“Paling penting, saya sangat gembira dapat meraikan atlet yang hebat, dengan semua kisah pengorbanan dan keazaman, kesakitan dan ketabahan mereka.

“Anda semua begitu fokus dengan impian anda dan sama ada anda membawa pulang pingat atau tidak, saya berharap dengan berada di sini bermakna ia (impian) anda menjadi kenyataan.

“Anda semua patut berbangga, kami tahu betapa kerasnya anda bekerja untuk menjadi terbaik daripada yang terbaik,’’ katanya. – 27 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related