KUALA LUMPUR – Penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengakui menerima beberapa tawaran berlakon filem selepas membintangi Zim Zim Ala Kazim arahan Asmawi Ani atau Mawi.
Namun Mohd Kazim atau Ustaz Kazim ketika dihubungi Scoop memberitahu, beberapa tawaran itu terpaksa diketepikan kerana dia bakal menjayakan filem terbitan dan arahan terbaharu Mawi yang akan dihasilkan tidak lama lagi.
“Saya sudah berjanji dengan Mawi untuk terlibat di dalam pembikinan filem terbaharunya itu nanti dan mengikut perancangan proses penggambarannya akan dilakukan pada penghujung tahun ini.
“Walaupun ia masih menampilkan kisah benar saya disihir, namun ia sama sekali bukanlah filem kesinambungan daripada filem Zim Zim Ala Kazim. Sebaliknya, filem baharu itu nanti akan menjadi sebuah filem religi atau Islamik yang serius,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan kandungan filem baharu itu nanti tidak dipersoal khalayak penonton seperti berlaku kepada Zim Zim Ala Kazim, dia sendiri akan memantau setiap pembikinan babak dalam filem tersebut.
“Walaupun ada di antara babak itu yang tidak melibatkan saya, tetapi saya tetap mahu datang dan tengok dan perkara ini saya maklumkan kepada Mawi.
“Dalam Zim Zim Ala Kazim, memang ada yang yang mengkritik babak-babak tertentu yang saya lakonan dan mereka tanya, kenapa saya melakonkan babak tersebut. Saya beritahu mereka, sebagai pelakon saya perlu akur dengan arahan pengarah. Lagipun, ia filem komedi.
“Tapi kalau buat filem yang serius, kita tak boleh buat benda yang sama dan kita kena ambil kira semua sudut dalam pembikinannya dan kita perlu terapkan banyak elemen di dalam filem ini sebagai tarikan penonton,” katanya.
Mengenai kisah atau jalan cerita filem baharu itu nanti, Ustaz Kazim berkata, dia akan menyerahkan hal itu sepenuhnya kepada Mawi melalui perbincangan bersama.
“Sebenarnya banyak lagi kisah saya yang tidak diterapkan di dalam filem Zim Zim Ala Kazim yang saya kongsikan dengan Mawi. Dari situ nanti Mawi akan menyusun cerita saya ini di dalam filem tersebut tetapi buat masa ini kami belum punya masa untuk duduk dan berbincang.
“Melalui perbincangan itu nanti, mungkin akan ada penambahan yang dilakukan bagi menjadikan jalan ceritanya lebih kukuh,” katanya.
Biarpun mempunyai hasrat mengajak golongan cendekiawan serta agamawan turun dalam bidang seni filem dan menghasilkan kandungan terbaik untuk ditonton, namun katanya, ia masih belum cukup kuat meyakinkan mereka mengenai perkara itu.
“Setakat ini, tiada dalam kalangan mereka itu yang berminat untuk terlibat dalam bidang ini dengan menghasilkan fiem religi atau Islamik.
“Tidak apalah. Saya tetap akan teruskan usaha berdakwah melalui filem ini. Siapa tahu, selepas ini mereka akan terbuka hati untuk terlibat di dalam bidang ini. Yang penting, kita kena teruskan niat kita,” katanya. – 19 Julai, 2024