KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Ning Baizura teruja dan gembira apabila julung kalinya berjaya menyiapkan karya lagu ciptaannya sendiri, To Know Me sehingga tuntas.
Lagu bergenre balada dihasilkan secara dwi-bahasa, iaitu Melayu dan Inggeris berkenaan bakal dirakamkan Ning Jumaat ini dan dipersembahkan beliau pada acara Wow Show Live di Petaling Jaya Performance Art Centre (PJPAC), 1 Utama pada 9 dan 10 Ogos depan.
Bercerita kepada Scoop mengenai lagunya itu, Ning berkata, dia sendiri tidak menyangka dapat menghasilkan sebuah karya yang didedikasikan khas buat peminatnya selepas 30 tahun menceburkan diri dalam bidang seni.
“Selalunya, kalau saya ditimpa masalah di dalam kerjaya, saya pasti akan menulis lagu. Tapi, selalunya lagu saya buat itu hanya sekerat jalan dan tidak pernah habis.
“Tapi, apabila berlakunya isu viral yang melibatkan diri saya tidak lama dahulu, saya pergi ke Bali untuk bercuti di sebuah tempat yang terletak di sawah padi, dengan dikelilingi alam semula jadi.
“Di tempat itu, saya memperoleh ketenangan dan ilham untuk menulis lagu To Know Me dengan berinspirasikan lagu Adele serta Bruno Mars sampai ia siap. Daripada menjadikan diri saya sebagai mangsa (susulan isu viral), lebih wajar bagi saya jadikan diri saya seorang survivor,” luahnya.
Menurut Ning, To Know Me adalah sebuah lagu benar-benar ikhlas dan jujur yang ditulis dari lubuk hatinya.
Katanya, lagu itu menceritakan mengenai diri dan perjuangan seninya di dalam industri muzik yang didedikasikan buat peminat, memandangkan mereka sudah lama menunggu single baharu daripadanya.
“Bagi mereka yang bukan pengikut saya, mungkin saya boleh jadikan mereka pengikut baharu dan bagi pengikut setia saya pula, bagaimana rasanya mengenali seseorang bernama Ning Baizura dan adakah mereka benar-benar mengenali diri saya?
“Awalnya, saya sudah mempunyai idea untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Who’s That, tapi saya rasa ia lebih sesuai dijadikan single kedua atau ketiga,” katanya sambil tertawa.
Ujarnya, idea untuk menghasilkan lagu dwi-bahasa datang daripada anaknya Ryan supaya lebih ramai faham, terutama suami dan keluarga mentuanya.
“Genre balada dikekalkan kerana itulah makanan jiwa saya tetapi ia kedengaran moden,” katanya.
Ning memaklumkan, dia turut berkolaborasi dengan penerbit muda untuk merakamkan serta menerbitkan lagu berkenaan.
“Saya tidak akan dedahkan dulu siapa dia. Tapi, dia seorang produser lelaki generasi muda berusia 30-an dan kebetulan, dia peminat saya dan dia sangat menonjol dalam industri muzik kita.
“Sebaik dia mendengar lagu To Know Me, dia memberitahu saya bahawa lagu ini sesuatu yang lain dan dinamikanya seperti sebuah lagu OST dalam filem. Saya memang teruja bekerjasama dengan penerbit muda ini kerana saya menyukai ideanya yang segar dan bapanya sungguh terkenal,” katanya.
Malah, Ning mempunyai perancangan untuk muncul dengan Extended Play (EP) yang mengandungi sekurang-kurangnya enam lagu. – 18 Julai, 2024