KUALA LUMPUR – Selagi tempoh perlindungan hak cipta karyawan muzik tanah air tidak dipanjangkan dari 50 ke 70 tahun, selagi itulah tiada apa-apa yang dapat dilakukan untuk menyelesaikan isu pembayaran royalti kepada waris Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Lebih-lebih lagi apabila royalti karya Seniman Agung itu bagi tempoh 50 tahun sudah berakhir tahun lalu dan sudah berstatus ‘domain awam’ selepas lima dekad pemergiannya, maka tiada sebarang keperluan untuk membayar royalti kepada waris beliau.
Sehubungan itu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sudah memohon kepada pihak kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk meningkatkan perlindungan hak cipta dan hak rakaman sehingga ke 70 tahun.
Bercakap kepada Scoop, Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memperjuang hal tersebut agar perkara sama tidak berlaku kepada karya-karya lagu karyawan muzik lain.
“Lagipun sudah banyak negara di dunia yang telah memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta kepada 70 tahun. Ia memang standard antarabangsa yang baharu. Itu yang sedang kita usahakan dan kita sudah memohon kepada MyIPO. Akan tetapi, proses ini akan memakan sedikit masa.
“Apabila kita sudah bentangkan hujah-hujah mengapa perlindungan hak cipta ini perlu dipanjangkan dan setelah MyIPO bersetuju dan berpuas hati dengan penjelasan RIM, barulah perkara ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.
“Jika ia diluluskan di Parlimen, barulah ia boleh jadi undang-undang baharu di negara ini (berhubung hak cipta),” katanya.
Pun begitu kata Rosmin, seandainya usaha memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta selama 20 tahun itu berjaya dilakukan, timbul persoalan lain mengenai status karya lagu-lagu P Ramlee yang sudah bersifat domain awam.
“Persoalannya, apakah lagu-lagu yang sudah berstatus domain awam itu mampu diselamatkan lagi atau tidak? Ini juga yang menjadi tanda tanya buat RIM kerana kami juga sebetulnya tidak begitu jelas dengan perkara ini.
“RIM sendiri perlu merujuk kepada Interested Party Information (IPI) iaitu badan yang mewakili syarikat rakaman di seluruh dunia mengenai perkara ini seandainya tempoh memanjangkan perlindungan hak cipta ini diluluskan kerajaan,” katanya.
Rosmin menjelaskan, selain P. Ramlee, banyak lagi karya lagu penggiat muzik tanah air iaitu kumpulan Black Dog Bone, Sweet Charity dan Alleycats yang terancam menjadi ‘domain awam’ kerana sudah hampir memasuki tempoh 50 tahun.
“Perkara ini sangat merugikan penggiat muzik serta pemilik hak cipta karya lagu di Malaysia kerana ada di antara lagu-lagu ini yang masih popular dan malar segar dan apabila sudah masuk ‘domain awam’, penciptanya sudah tidak layak menerima royalti.
“Seperkara lagi, jika sesebuah karya lagu penggiat muzik tempatan digunakan di luar negara yang mana tempoh hak perlindungan mereka adalah 70 tahun, namun mereka akan ambil kira tempoh perlindungan hak cipta 50 tahun di negara kita.
“Sebab itulah kami mohon kerajaan agar dapat meminda tempoh hak cipta (coyright) untuk penciptaan lagu dan lirik (musical works) melalui undang-undang perlindungan hak cipta di negara ini,” katanya. – 17 Julai, 2024