KUALA LUMPUR – Selain giat menterjemahkan novel terbaik dihasilkan sasterawan dunia dalam bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut mengambil inisiatif mengangkat karya-karya berkenaan ke pentas teater.
Atas sebab itulah, DBP mementaskan teater Haji Murat arahan A Wahab Hamzah dan Aris Othman yang diangkat daripada karya sasterawan dunia Russia, Leo Tolstoy bersempena majlis sambutan ulang tahun DBP ke-67, baru-baru ini.
Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari berkata, penterjemahan novel Haji Murat ke dalam bahasa Melayu sudah dilakukan sejak 2001 oleh Profesor Victor A Pogadaev yang juga seorang pengkaji sastera Melayu dan Indonesia dari Russia.
“Usaha ini memang sudah dilakukan sejak sekian lama, tetapi pada masa sama kita melihat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, pementasan teater perdana sudah semakin berkurangan.
“Apabila saya mengambilalih jawatan Ketua Pengarah DBP sejak tahun lepas, saya berasakan kita perlu hidupkan kembali teater perdana dengan mengangkat karya terbaik sasterawan dalam dan luar negara.
“Karya novel Haji Murat oleh Tolstoy yang mana skripnya ditulis sasterawan negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan dipilih kerana ia sememangnya cukup relevan dengan keadaan semasa di dunia mahupun dalam negara ketika ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Hazami berkata, pemilihan novel Haji Murat ke pentas teater ini juga dilakukan kerana ia mempunyai citra perjuangan Islam oleh pejuang Chechen yang cuba membebaskan tanah air mereka daripada tentera Russia.
“Kalau kita amati dan hayati, sentimen dan keadaan sama inilah yang sekian lama berlaku di Palestin, bertahun-tahun lamanya. Ketidakadilan dan penindasan turut dialami bangsa Chechen seperti yang berlaku di Palestin.
“Akan tetapi, kalau kita menilai dari sudut keseluruhan penceritaan ia juga berlaku di mana-mana termasuk di negara kita terutama dalam dunia politik yang mana pembelotan sesama kelompok menyebabkan musuh boleh menguasai kita dengan mudah.
“Melalui pementasan teater ini, kita cuba gambarkan mengenai sikap manusia dan pergolakan yang berlaku pada ketika itu. Elemen-elemen ini mampu memberikan pengajaran kepada kita bahawa ketidakadilan dan pembelotan sering berlaku, cuma zaman sahaja yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Hazami berkata, selain pementasan teater, pihaknya juga sedang meningkatkan usaha untuk memindahkan wahana karya dari bentuk konvensional buku kepada drama, telemovie, filem, tarian mahupun komik.
“Usaha ini memerlukan kepakaran serta tambahan dana dan kewangan, tetapi itu yang sedang kita lakukan sekarang ini.
“Kita mengambil pendekatan sebegini kerana kita bukan sahaja mahukan pemikiran dan pengajaran terbaik dalam karya besar dapat dikongsikan kepada masyarakat.
“Pada masa sama, pendekatan ini dapat mengembalikan minat orang ramai terhadap sastera Melayu agar ia berupaya melembutkan jiwa masyarakat untuk menghormati nilai kemanusiaan,” katanya. – 5 Julai, 2024