Kerajaan perlu contohi Indonesia, Filipina perangi cetak rompak digital, lindungi industri kreatif: Altimet

Katanya, kerajaan juga disaran mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan bekerjasama dengan syarikat platform kandungan dalam mengenal pasti dan menutup operasi cetak rompak digital

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mencontohi usaha dilakukan Indonesia dan Filipina dalam memerangi isu cetak rompak digital serta melindungi industri kreatif di negara masing-masing.

Penyanyi rap terkenal, Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya berkata, ketegasan Indonesia dapat dilihat apabila bekerjasama secara proaktif dengan platform kandungan bagi mengambil langkah tuntas dalam memerangi gejala itu di aplikasi Telegram.

“Bahkan, kerajaan Indonesia tidak teragak-agak untuk memberi amaran keras terhadap Telegram. Jika ia gagal mengambil tindakan terhadap jenayah dalam talian, menerusi perkhidmatannya, maka Telegram akan dihalang untuk beroperasi di Indonesia.

“Komitmen teguh Indonesia dalam memerangi jenayah terbabit terserlah dengan penangkapan beberapa individu yang menjadi dalang kepada pengedaran kandungan secara haram serta penghapusan kandungan cetak rompak digital dari platform media sosial.

“Malah, pada 25 Mei 2023, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun gara-gara cetak rompak digital. Individu terbabit didapati bersalah dalam mencuri kandungan tempatan dan antarabangsa, termasuk sukan langsung, dari OTT Indonesia, Vidio, sejak 2019,” katanya.

Jelas Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, pendekatan tegas itu menunjukkan komitmen kerajaan Indonesia untuk melindungi industri kreatif mereka demi memastikan pencipta kandungan diberi ganjaran yang adil dan setimpal dengan usaha mereka.

Katanya, Filipina ketika ini juga sedang mengambil langkah berani untuk mengemaskini Kod Harta Intelek mereka, selain memperkenalkan langkah penyekatan laman web secara lebih berkesan.

“Pendekatan proaktif Senat mereka, yang turut disokong para pemain industri, menekankan komitmen nasional untuk melindungi hak pencipta kandungan.

“Cadangan Rang Undang-Undang Senat 2150 dan Rang Undang-Undang Senat 2385 di Filipina bertujuan untuk menyekat akses ke laman web yang mempromosikan pelanggaran hak cipta dan memperluaskan kuasa Pejabat Harta Intelek Filipina untuk memulakan langkah penyekatan laman web.

“Usaha ini mencerminkan pemahaman yang mendalam mengenai kepentingan hak harta intelek dan keperluan untuk memodenkan undang-undang bagi memerangi ancaman cetak rompak digital yang semakin berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, Altimet berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendirian lebih tegas terhadap isu cetak rompak digital dan melaksanakan langkah ketat serta memastikan tindakan penguatkuasaan dipertingkat.

“Meskipun dengan adanya Rang Undang-Undang (RUU) Hak Cipta (Pindaan) 2021, yang membabitkan penggubalan Seksyen 43AA (yang menjadikan penggunaan teknologi penstriman dalam kes pelanggaran hak cipta sebagai satu jenayah), namun penguatkuasaan terhadap jenayah ini kelihatan lemah.

“Saya menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan langkah sama diambil negara jiran seperti penguatkuasaan yang dipertingkat terhadap undang-undang sedia ada, peningkatan penalti bagi pesalah dan kerjasama dengan syarikat platform kandungan untuk mengenal pasti dan menutup operasi cetak rompak digital,” katanya. – 1 Julai, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related