KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan acara, Megatix sedang menunggu penjelasan lanjut daripada agensi Alan Walker mengenai penundaan Konsert Walkerworld Tour 2024 yang sepatutnya berlangsung malam ini di Surf Beach, Sunway Lagoon.
Bercakap kepada Scoop, Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad bagaimanapun berkata, pihaknya dimaklumkan konsert jelajah Alan Walker itu akan ditunda sehingga November.
“Kami sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan tarikh baharu dan pada masa yang sama menunggu penjelasan mengenai penundaan konsert tersebut.
“Sebetulnya Megatix bukanlah seperti syarikat pengurus acara atau promoter konsert yang lain dalam penganjuran konsert ini, sebaliknya kami hanya membantu agensi Alan Walker menguruskan penganjuran ini serta hal yang bersangkut-paut dengan ‘ticketing’.
“Sebab itulah, penundaan konsert ini datangnya daripada Alan Walker dan bukannya pihak Megatix. Apapun, kami sudah pun memenuhi segala permintaan Alan Walker termasuk kerja-kerja penyediaan konsert,” katanya.
Menurut Ridzuan lagi, Megatix tidak mengetahui punca konsert itu ditunda namun mereka percaya pihak Alan Walker memiliki alasan yang tersendiri.
“Kami percaya mereka mempunyai sebab dan alasan yang baik, mungkin akan ada kejutan atau perubahan konsert yang lebih besar lagi.
“Sebab itulah saya menasihati orang ramai yang sudah membeli tiket agar tidak mengembalikan tiket mereka untuk mendapatkan kembali wang. Tapi, jika ada yang ingin berbuat demikian, terserah. Itu hak mereka,” katanya lagi.
Semalam Alan Walker melalui akaun Instagram miliknya memuat naik kenyataan mengenai penundaan konsert berkenaan.
Menurutnya, keadaan yang tidak dijangka serta tidak dapat dielakkan adalah penyebab kepada penundaan konsert berkenaan sehingga ke satu tarikh baru akhir tahun ini.
Dia turut memohon maaf atas pengumuman saat akhir, tetapi berjanji untuk menghormati komitmennya dan pasukannya kepada semua peminat yang telah membeli tiket persembahannya.
Rata-rata peminat Alan Walker meluahkan rasa kekecewaan mereka terhadap penundaan konsert tersebut. Tidak kurang juga yang mahu mendapatkan semula wang mereka.
Alan Walker yang juga deejay dan produser muzik kelahiran Norway, cukup popular dan mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia serta banyak menghasilkan lagu-lagu EDM yang digemari kelompok peminatnya.
Menerusi Konsert Walkerworld Tour 2024, Alan Walker bakal membuat persembahan dengan diiringi yang persembahan artis jemputan seperti Putri Ariani, Robin Packalen dan Sofiloud. – 22 Jun, 2024