Artis diingatkan hati-hati terima tawaran jayakan konsert bersama artis luar

Sebelum terima apa-apa tawaran, selidik dahulu latar belakang pihak penganjur, artis lain yang terlibat khususnya artis luar serta syarikat yang menaja acara berkenaan

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Golongan artis tempatan diingatkan supaya berhati-hati apabila menerima tawaran untuk menjayakan sesebuah konsert atau acara hiburan pentas khususnya yang melibatkan artis luar.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid berkata, artis mahupun pengurusan artis haruslah menyelidik terlebih dahulu latar belakang penganjuran sesebuah acara dan artis luar yang terlibat sama serta syarikat yang menjadi penaja untuk memastikan ia tidak mempunyai kaitan dengan zionis serta Israel.

“Isu berkaitan dengan zionis dan Israel adalah suatu isu yang sangat sensitif. Apatah lagi di saat umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia ketika ini sedang marah dan mengutuk keras perbuatan kejam zionis Israel terhadap masyarakat Palestin.

“Jadi sebelum terima apa-apa tawaran, selidik dahulu latar belakang pihak penganjur, artis lain yang terlibat khususnya artis luar serta syarikat yang menaja acara berkenaan,” katanya.

Ayob berkata demikian ketika diminta mengulas polemik yang melibatkan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam persembahan konsert Hitman Returns-David Foster and Friends di Jakarta pada malam Sabtu lalu sehingga mendatangkan perbalahan sengit di antara penyokong anti-Zionis dengan penyokong tegar artis tersohor itu di platform X.

Menurut Ayob, apa yang berlaku itu sudah berlaku tetapi ia seharusnya dijadikan pengajaran untuk semua artis tempatan di masa akan datang.

Dalam pada itu bekas wartawan hiburan yang kini bergelar produser filem, Datuk Saniboey Ismail berpendapat, peminat tegar Siti Nurhaliza mempunyai hak mempertahan tindakan penyanyi kesayangan mereka apabila beliau nekad membuat keputusan menjayakan konsert berkenaan.

“Tetapi pada masa yang sama mereka juga tidak boleh marah dengan kritikan yang dilemparkan segelintir netizen lain kerana semua orang ada pendapat atau pandangan masing-masing.

“Namun saya lihat, ada juga yang meminati Siti Nurhaliza tetapi pada masa yang sama mereka masih boleh bersikap rasional untuk mempertimbang apa yang patut dan tidak patut.

“Sebagai peminat tegar yang telah mempertahan Siti Nurhaliza, mereka telah membuktikan mereka adalah peminat yang benar-benar setia dan memang itulah sepatutnya,” katanya.

Saniboey secara peribadi berpendapat, Siti Nurhaliza sepatutnya menolak untuk menerima tawaran menjayakan konsert tersebut daripada awal lagi.

“Sebab kita di sini, cuba tunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Palestin. Sokongan itu tidak boleh dilakukan secara separuh-separuh. Saya tidak nafikan Siti Nurhaliza banyak membuat sumbangan terhadap Palestin yang mana kita sendiri mungkin tidak mampu untuk melakukannya tetapi ia harus dilakukan berterusan tanpa berkompromi dengan apapun,” katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Saiful Nujaimi Abdul Rahman berkata, sebarang kontroversi melibatkan pihak A dan pihak B, ia perlu diselesaikan sendiri kedua-dua pihak tersebut.

“Usah jadikan media sebagai tempat untuk meluahkan perasaan. Sebelum pergi ke media, isu tersebut harus diselesaikan terlebih dahulu manakala netizen pula tidak berhak saling menghujat antara satu sama lain, apatah lagi menentukan siapa yang salah dan siapa benar kerana kita hanyalah di pihak yang ketiga,” katanya. – 18 Jun, 2024

Topics

Popular

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Zhijie’s tragic death underscores crucial BAM-IJN partnership for athlete health

Incident a 'wake-up call' for importance of comprehensive health checks among athletes, medical assessments should be mandatory across all national sports associations, says BAM president

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Related