Ambil alih ASA demi galak penyertaan, persaingan sihat badan penyiaran: Kementerian Komunikasi

Sejak pengambilalihan itu, ia menerima penyertaan lebih meluas selain turut mendapat tajaan syarikat korporat

5:40 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi bertindak mengambil alih penganjuran serta pengelolaan Anugerah Seri Angkasa (ASA) sejak 2022 bagi menggalakkan penyertaan badan penyiaran swasta serta mewujudkan persaingan sihat dalam industri itu.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Norhadznita Mohammad Ilham berkata, sejak pengambilalihan itu dilakukan, ASA bukan sahaja menerima penyertaan lebih meluas daripada stesen penyiaran swasta tempatan tetapi berjaya mendapat tajaan beberapa syarikat korporat.

“Memang ASA ini bermula dengan RTM dan kemudian pada 2014, ia mula dibuka kepada badan penyiaran swasta. Tetapi, pada masa sama, kita mahu penyertaan lebih meluas lagi daripada mereka.

“Sebab itulah, Kementerian Komunikasi mengambil alih penganjuran ASA pada 2022 dan kita juga turut melakukan penambahbaikan dari sudut format pertandingan dan cara pengendalian anugerah ini.

“Alhamdulillah, menerusi penganjuran ASA 2022 sebelum ini, kita menerima lebih banyak penyertaan daripada penyiaran swasta serta mendapat sokongan dari sudut penajaan,” katanya pada sidang media Pencalonan ASA 2024 di sini, semalam.

Norhadznita yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan ASA 2024 berkata, sejak bermulanya penganjuran ASA 2022, Kementerian Komunikasi turut mengeluarkan laporan analisis yang kemudiannya dikongsi bersama dengan semua badan penyiaran ini.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Norhadznita Mohammad Ilham berkata sejak bermulanya penganjuran ASA 2022, Kementerian Komunikasi turut mengeluarkan laporan analisis yang kemudiannya dikongsi bersama dengan semua badan penyiaran – Gambar Scoop, 15 Jun, 2024

“Dari situ mereka dapat belajar, apa yang boleh ditambah baik dari sudut pengeluaran kandungan atau memikirkan strategi tertentu yang boleh dilakukan untuk menghasilkan kandungan lebih baik lagi.

“Ini adalah pendekatan baru yang kami lakukan kerana kami mahu memupuk semangat untuk berkembang bersama-sama dengan semua badan penyiaran ini.

“Ini kerana apabila memperkatakan mengenai industri penyiaran, ada banyak pihak atau sektor lain terlibat sama yang mana ia turut berkait dengan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai pengurangan jumlah kategori bagi ASA 2024, Norhadznita menjelaskan, ia berlaku kerana mereka cuba melakukan penambahbaikan terhadap format anugerah.

“Ada kategori yang dikekalkan, ada digabungkan dan ada juga kita perbaharui. Sebab itu ia menjadi 60 kategori sekarang (berbanding 70 pada 2022). Tapi, kalau hendak diikutkan perubahan ini tiada bezanya.

“Mengenai hadiah Dana Kandungan Digital (DKD), ia masih dikekalkan kepada pemenang Terbaik dan Dokumentari Terbaik, namun kita akan cuba teliti pemberian DKD kepada pemenang Podcast Terbaik.

“Ya, memang sebelum ini, ada rungutan apabila hadiah DKD lambat diberikan kepada pemenang pada ASA 2022 dulu. Perkara itu berlaku kerana wujudnya salah faham dari sudut penerimanya. Maklumlah, ia pertama kali diberikan,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan, masalah kelewatan pemberian DKD tidak akan berlaku lagi memandangkan penambahbaikan sudah dilakukan.

“Kita sudah membuat penambahbaikan dari sudut proses pemberian dana ini. Insya-Allah, saya berjanji hal sama berkaitan kelewatan pemberian dana ini tidak akan berlaku lagi pada tahun ini,” katanya.

ASA 2024 mempertandingkan 60 kategori iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.

Selain itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga ditampilkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

Kategori Podcast Terbaik bagaimanapun hanya terbuka kepada penyiar audiosiar yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pencalonan ASA 2024 akan dibuka selama dua minggu bermula 1 hingga 15 Julai. – 15 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related