KUALA LUMPUR – Pelakon Riezman Khuzaimi hari ini mengakui lega apabila pihak konsultan ‘scammer’ yang sebelum ini dilantik mengendalikan penganjuran Konsert Goyang Asli Koplo Milenia sehingga dia mengalami kerugian hampir RM500,000 akhirnya dibawa ke muka pengadilan.
Bercakap kepada Scoop, Riezman berkata, dia turut memuji usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disifatnya cukup cekap menjalankan tugas melalui bukti sahih diberikan berhubung penipuan yang dibuat konsultan ‘scammer’ berkenaan.
“Alhamdulillah, pihak PDRM sudah jalankan tugas yang baik biarpun saya terpaksa menunggu kes ini untuk diselesaikan hampir setahun.
“Saya juga berasa sedikit lega kerana perkara ini sudah melibatkan perundangan. Setidak-tidaknya ia dapat membersihkan reputasi saya yang tercemar. Berikutan hal ini, saya turut dipandang serong rakan kongsi apabila turut dituduh berkomplot untuk menggelapkan wang syarikat.
“Namun, saya memang mengalami trauma kerana konsert tersebut merupakan konsert pertama dalam bidang showbiz yang saya anjurkan di bawah Syarikat Mission Sight Sdn Bhd, sebelum ini saya pernah menerbitkan filem,” katanya.
Menurut Riezman, perkara yang berlaku itu menjadi pengajaran yang berguna kepada orang ramai agar tidak mudah mempercayai seseorang melalui media sosial.

“Kemelut ini berlaku kerana saya mengenali scammer ini melalui media sosial dan melalui rekomendasi saya juga, si pelaku ini diberi kepercayaan untuk mengendalikan konsert yang kami anjurkan.
“Saya berharap pihak pengadilan akan melakukan yang terbaik kerana saya tidak mahu apa yang terjadi kepada saya ini turut menimpa orang lain.
“Apapun, kita kena ikut undang-undang dan tidak boleh meletakkan sesuatu kesalahan selagi tiada bukti kukuh. Tetapi apabila kita sudah bagi bukti kukuh, barulah tindakan dan langkah seterusnya boleh diambil,” katanya.
Jelas Riezman, dia sudah melakukan yang terbaik untuk berbincang dan menyelesaikan perkara itu dengan scammer terbabit namun usaha tersebut gagal.
“Dia yang mahu kes ini dibawa ke muka pengadilan, jadi kita pun bawalah ke muka pengadilan,” katanya.
Susulan kerugian yang dialami selepas ditipu scammer terbabit, konsert tersebut tertangguh sebanyak tiga kali pada tahun lalu, namun akhirnya dapat diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Januari tahun ini.
Konsert yang berjaya menggabungkan ratu dangdut Malaysia dan Indonesia itu berjaya melakarkan sejarah dan menjadi konsert dangdut pertama berjaya diadakan di Malaysia.
Ujarnya lagi, dia bersama rakan kongsinya bakal menganjurkan Konsert Goyang Asli Koplo Milenia Season II pada hujung tahun ini dan berkemungkinan diadakan di Pulau Pinang. – 14 Jun, 2024