KUALA LUMPUR – Setiap kali munculnya sesebuah filem tempatan baharu di pawagam, pasti akan muncul pengkritik-pengkritik filem yang menyuarakan pandangan serta pendapat mereka di media sosial mengenai aspek pembikinan, garapan, skrip, penceritaan, lakonan dan sebagainya.
Ada di antara kritikan mereka itu berjaya membenamkan sesebuah filem sehingga tayangannya di panggung sepi penonton dan ada pula yang sebaliknya, hingga mampu mendorong berbondong-bondong orang datang ke panggung menonton filem tersebut.
Namun, adakah mereka ini layak digelar sebagai pengkritik filem? Adakah pandangan mereka layak dianggap sebagai kritikan filem walhal ia tidak harus dilakukan sembarangan dan merupakan tugas seorang cendekiawan atau sarjana filem dengan mengemukakan teori-teori filem untuk menyokong hujah atau pandangan mereka.
Mengulas mengenai isu ini dalam Majlis Apresiasi Filem Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif), pengkritik filem, Thaaqhib Mohammed mengakui kurang berminat menggunakan perkataan mengkritik kerana ia jelas membawa maksud yang negatif dalam konteks pemahaman umum.
“Di Malaysia, kita memahami bahawa mengkritik itu bererti membenci seseorang. Saya lebih suka gunakan perkataan mengulas. Apabila mengulas, kita akan melihat sisi yang perlu dilihat. Ulasan ini pula bukan menarik orang untuk datang ke panggung dan menonton wayang.
“Akan tetapi, ulasan ini adalah untuk memberitahu dan berinteraksi untuk orang berfikir, melihat dan menilai filem dari sudut pandangan yang lebih jauh. Itu sebetulnya peranan ulasan dan kalau di universiti pula ia digelar Literature Review,” katanya.
Begitupun Thaaqhib tidak menafikan, andai sesebuah ulasan yang dibuat itu menarik, ia dapat menarik penonton yang tepat untuk menonton filem yang tepat.
“Bagi saya, apa yang berlaku sekarang, seperti yang kita lihat di media sosial, ia bukanlah satu ulasan atau kritikan tetapi lebih pendapat biasa mengenai pengalaman menonton mereka.
“Untuk menulis ulasan bukan setakat hanya menonton sesebuah filem dan mengatakan lakonan seseorang pelakon itu power atau sesebuah babak itu power. Kalau ulasan itu dilakukan dengan tujuan untuk menarik orang ke panggung, bagi saya ia harus dihentikan.
“Apa yang perlu kita buat ajak orang untuk datang ke panggung dengan otak terbuka. Usah menonton demi hiburan semata-mata tetapi juga berfikir,” katanya.
Katanya, untuk mengulas filem Pagari Bulan, dia sendiri perlu membaca dua buah buku iaitu kisah ‘comfort women’ di Korea pada zaman pendudukan Jepun serta buku Falsafah Takdir oleh Zaaba.
“Sebab bila saya tonton filem ini, apa yang saya temukan bukanlah mengenai isu ‘comfort women’ 100% tetapi apa yang saya nampak, ia bercerita bagaimana manusia membuat keputusan dalam keadaan kita tak mampu tentukan hala tuju hidup kita.
“Banyak kali juga penulis skrip menekankan tentang penggunaan perkataan takdir. Jadi, apa yang saya temukan, Bulan di dalam filem ini akhirnya memahami takdirnya tetapi untuk memahami perkara itu, dia harus membuat keputusannya terlebih dahulu,” katanya. – 11 Jun, 2024