KUALA LUMPUR – Demi memastikan terus kekal relevan berada di dalam industri, kumpulan Spider akur harus mengikuti arus perubahan muzik masa kini dengan menerapkan bunyian elektronik di dalam dua single terbaharu mereka yang bakal berada di pasaran pada Julai nanti.
Biarpun begitu vokalisnya, Tam Mustafah ketika ditemui Scoop berkata, Spider tetap akan mengekalkan bunyian ‘signature’ rock ska mereka yang sudah sekian lama mesra di telinga dan jiwa pengikut serta peminat sejak kemunculan album pertama mereka, Ngam Ho pada 1999.
“Perubahan yang kami lakukan tidaklah terlalu besar mana. Cukup sekadar untuk mencari peminat baharu. Kalau diubah terlalu banyak, bimbang pula peminat lama akan lari.
“Cuba lihat apa jadi kepada Maroon 5. Kiblat muzik asal mereka lari dengan terlalu jauh bila mereka ubah muzik kepada elektronik, akibatnya peminat lari.
“Ia suatu perkara yang bahaya dan kami juga turut mengambil iktibar supaya hal seperti ini tidak terjadi kepada Spider. Ertinya, walaupun kami cuba buat sesuatu perubahan tapi kami seimbangkan juga dengan apa yang sudah kami ada supaya paksi kami sebagai band muzik yang bermain instrumen tidak hilang atau lenyap,” katanya.
Menurut Tam, penghasilan dua single terbaharu itu juga bukanlah dilakukan bersempena dengan konsert solo mereka, Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Jun ini.
“Sebaliknya, dua single baharu ini dilakukan untuk projek album kompilasi kami untuk pengeluaran Vinyl (piring hitam) dengan Luncai Emas.
“Atas sebab itu, kami juga tidak akan menyanyikan dua single baharu itu di dalam konsert solo kami nanti,” katanya.
Projek album kompilasi ini juga menyaksikan kembalinya Spider di bawah naungan syarikat rakaman lama mereka iaitu Luncai Emas milik Datuk M Nasir.
“Selepas menghasilkan album keenam, Ankabut pada 2016, kontrak kami bersama Luncai Emas turut berakhir dan kami tidak menyambungnya kerana cuba membuat projek sendiri dan mencari angin baharu.
“Kalau asyik duduk di label yang sama, tidak seronok juga kerana kita juga mahu dapatkan input-input baharu. Tetapi bila difikirkan semula, mana-mana label juga punya undang-undang serta regulasi yang sama, tinggal lagi kita selesa atau tidak selesa dengan sesuatu label itu.
“Setelah ketiadaan Tony yang meninggal dunia 2021 dan keadaan Nafie yang ketika ini tidak sihat, Datuk M Nasir bersama Pengarah Produksi, Keon Omar bertanya, tak mahu sambung kontrak dengan Luncai Emas?
“Jadi, akhirnya setelah lapan tahun, Spider kembali semula ke pangkuan Luncai Emas setelah menandatangani kontrak kira-kira sebulan lalu,” katanya. – 10 Jun, 2024