KUALA LUMPUR — Penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim Elias sedia menerima kecaman daripada netizen selepas mengambil keputusan untuk terjun ke dunia lakonan dan menerajui watak utama dalam filem Zim Zim Ala Kazim arahan Asmawi Ani atau Mawi.
Menurut Kazim kepada Scoop, ini kerana langkah berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk mendekatkan diri dengan orang-orang seni malah ia merupakan landasan untuk berdakwah.

“Ia satu cabaran dan pengorbanan besar. Ada yang pro ada yang kontra. Ada yang suka, ada yang tak suka. Sekarang ini pun, saya dah nampak macam-macam komen di media sosial. Biasalah…
“Saya harus menghadapi dan menerima hakikat ada yang suka dan ada yang akan mengecam. Tujuannya mungkin orang tak nampak sekarang. Tapi sekurang-kurangnya bila mereka tonton sesuatu filem, mereka akan rasa selesa dan tidak rasa bersalah.
“Mungkin buat permulaan ini, ada kekurangan di mana-mana. Tapi, insya-Allah, kalau ada kerjasama lagi, ia akan perbaiki supaya kita dapat jadikan seni sebagai tempat berdakwah dan mengajak orang ke arah kebaikan,” katanya.

Menurut Kazim lagi, sepanjang 34 tahun melibatkan diri dalam bidang dakwah dan berceramah di merata tempat, beliau turut menerima tawaran menyertai politik dengan bertanding pada pilihan raya serta memegang jawatan dalam parti namun dia menolaknya kerana mengutamakan dakwah.
Namun apabila menerima tawaran daripada Mawi, ia mengejutkan malah isterinya turut bertanya sama ada beliau mahu mencuba bidang lakonan.
Bagaimanapun sebelum berlakon, Kazim meletakkan syarat tidak ada babak bersentuhan dan wajib menjaga solat di set lokasi.

“Mudah-mudahan ini adalah satu permulaan dan saya juga ingin mengajak golongan cendekiawan, agamawan, asatizah untuk turun dalam bidang seni. Buat skrip, cerita dan pelakon bagus dengan sistem pembikinan drama dan filem supaya ia jadi hasil kandungan yang terbaik untuk ditonton,’’ katanya yang mahu menjadikan filem sebagai sasaran mendekati anak-anak seni pada masa depan.
Tambahnya, tawaran itu diterimanya kerana jalan cerita filem itu hampir 80% menyamai kisah hidupnya yang menderita akibat disihir namun tidak semua diceritakan dalam Zim Zim Ala Kazim.
Kazim mengakui lebih mudah memberi ceramah daripada berlakon tetapi jika ada mendapat tawaran lain, beliau sedia menceritakan semua pengalamannya. Zim Zim Ala Kazim turut dibintangi Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Mawi, Syanie Hashim, Zarina Anjoulie, Iqram Dinzly serta Rosnah Johari bakal ditayangkan secara rasmi di pawagam pada 13 Jun ini. – 9 Jun, 2024