Ketiadaan Ustaz Don kerugian besar, ‘harap dia tampil jernihkan situasi, lapangkan hati’: Ustaz Kazim

Menurut Ustaz Kazim, penyampaian Ustaz Don menarik sehingga beliau sendiri suka mendengar ceramah daripada penceramah selebriti tersebut

3:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias menganggap ketiadaan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di televisyen dan radio selepas direhatkan susulan kenyataan kontroversinya mengenai ‘cinta pertama’ Rasulullah SAW sebagai kerugian besar kerana dia mempunyai gaya penyampaian tersendiri serta mempunyai ramai pengikut dalam kalangan anak muda.

Sehubungan itu, Kazim berharap penceramah selebriti terbabit tampil segera membuat penjernihan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri suka mendengar ceramah disampaikan Don Daniyal, malah penceramah terbabit pernah mengaji dan menjadi anak muridnya sebelum melanjutkan pengajian di Al-Azhar.

“Ustaz Don memiliki penyampaian mudah. Orang boleh faham penyampaiannya. Anak muda juga boleh ikut bahasa dia, sopan santun dia dan lemah-lembut dia. Memang dia berjaya menarik minat orang.

“Satu kerugian kalau Ustaz Don tak boleh bercakap di media utama. Kalau di media sosial, memang masih boleh cakap lagi tapi orang lebih melihat kepada media utama seperti televisyen, radio dan sebagainya.

“Tapi sekarang ini, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pun akan panggil dia untuk mendapatkan pencerahan,” katanya.

Menurut Kazim, beliau sendiri pernah berdepan dengan keadaan sama dan pernah digam daripada muncul di media utama.

Don Daniyal mempunyai gaya penyampaian yang mudah difahami ramai, malah golongan muda juga boleh mengikut bahasanya yang sopan santun serta lemah-lembut. – Gambar FB Salam Baitullah, 8 Jun, 2024

“Tapi, saya kena hormat dan perbetulkan balik apa saya buat silap. Saya juga memegang prinsip untuk membuat yang terbaik. Insya-Allah, televisyen akan panggil balik. Radio akan panggil dan masyarakat juga akan terima semula. Bagi saya, dalam bab ini, kita perlu ada kelapangan hati.

“Masyarakat pun, janganlah nampak Ustaz Don berdepan kontroversi ini, terus hentam, seolah-olah dia langsung tak pernah buat baik. Apa salah Ustaz Don sehingga begitu besar maki hamun yang dia terima?

“Apapun, bagi saya Ustaz Don kena melalui proses sebegini. Dia dah 14 tahun berdakwah. Inilah asam garam dalam bidang dakwah yang harus diterima,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Zim Zim Ala Kazim.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan tuduhan dilemparkan kepada Don Daniyal berhubung kontroversi itu, Kazim berkata, dalam hadis sahih memang ada dinyatakan mengenai kisah Rasulullah meminang Ummu Hani.

“Memang ada tapi pinangannya itu sekali sahaja. Tapi dua tiga kali pinangan itu saya tak pasti. Itu yang ramai minta Ustaz Don kemukakan dalil dan sumbernya kerana tiada sumber jelas, jadi itu menjadi pertikaian. Jadi, Ustaz Don kena jelaskan,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, Don Daniyal direhatkan daripada program Salam Baitullah terbitan RTM bagi meredakan ketegangan dalam media sosial, selain mengelak pertelagahan netizen berpanjangan. – Gambar FB Salam Baitullah, 8 Jun, 2024

Terdahulu, nama Don Daniyal ‘hangat’ apabila didakwa menyampaikan cerita yang diragui kesahihah hadisnya, berhubung kisah hidup Nabi Muhammad SAW, sekali gus mencetuskan pertikaian ramai.

Beliau semasa bersiaran mendakwa, Rasulullah SAW pernah melamar Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Justeru, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan Don Daniyal direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM.

Suhaimi dilapor berkata, keputusan itu diambil bagi meredakan ketegangan dalam platform media sosial membabitkan Don Daniyal, selain mengelak pertelagahan netizen berpanjangan.

Don Daniyal dimaklumkan menerima keputusan diumumkan Suhaimi dengan hati terbuka. – 8 Jun, 2024

Topics

Popular

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related