KUALA LUMPUR – Seniman Pyanhabib Rahman, 66, telah menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Klang sebentar tadi.
Berita mengenai pemergian Allahyarham Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman itu disahkan oleh isterinya, menerusi akaun Facebook Allahyarham sebentar tadi.
Namun punca kematian tidak didedahkan.
“Assalamualaikum innalillahiwainailaihirojiun, suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. kembali pada penciptaNya. Maafkan kesalahannya doakan yang baik baik untuknya,’’ katanya.
Turut memaklumkan pemergian Allahyarham ialah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi. Sesungguhnya kita datang dari Allah, dan kepada Allah jua kita akan kembali,’’ katanya menerusi tulisan di aplikasi X.
Allahyarham dilahirkan di Taiping, Perak dan merupakan seorang pelakon dan penulis puisi serta penyair yang disegani. Allahyarham hilang pendengaran ketika remaja.
Antara puisinya ialah Pancing Undi dan Saraf Dukaku.
Dalam pada itu, menerusi akaun Facebook Allahyarham juga, beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran pada 27 Mei lalu.
“Genap usia saya 66 tahun. cucu minta potong kek, saya pun potong kek. Nabi muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah. Allahu!,’’ demikian tulisnya. – 4 Jun, 2024