KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan mewujudkan program ‘mentor’ dengan membawa produser serta pengarah filem berpengalaman turun dan bertemu mahasiswa jurusan perfileman di institusi pengajian tinggi (IPT).
Bercakap kepada Scoop, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ia merupakan satu bentuk proses pembelajaran di mana pelajar dapat menimba ilmu, menerima bimbingan dan nasihat secara terus mengenai aspek berkaitan pembikinan filem.
Malah katanya, bagi melahirkan generasi celik sinema dan menjadi penyambung kepada masa depan industri perfileman tanah air, Finas akan menganjurkan siri jelajah majlis apresiasi filem tempatan di IPT secara bulanan.
“Majlis penganjuran seumpama ini mampu memberikan impak apabila wujudnya perkongsian pengalaman di antara pelakon dan pengarah yang terlibat dalam sesuatu projek filem dengan penuntut jurusan seni perfileman yang bakal memasuki industri ini.
“Oleh sebab itu, majlis apresiasi filem ini sangat penting dan salah satu perkara yang kita akan lakukan adalah mewujudkan program mentoring dengan membawa produser atau pengarah berpengalaman untuk turun dan bertemu dengan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Filem Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.
Majlis anjuran Pelajar Seminar Komunikasi Antarabudaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM dengan kerjasama syarikat produksi Eleven Field Creative itu mendapat sokongan Finas.
Azmir memberitahu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah menyatakan kepada Finas untuk mengadakan siri jelajah majlis apresiasi filem secara lebih berstruktur dengan melibatkan kolej dan universiti.
“Jadi, dalam waktu yang terdekat ini, Finas akan mengadakan perjumpaan dengan semua fakulti yang menyediakan program komunikasi massa dan produksi filem untuk kita bincang bagi menyelaraskan program ini,” katanya.
Menurut beliau, Finas juga akan mengadakan lebih banyak apresiasi terhadap karya filem kenegaraan yang mempunyai nilai patriostisme untuk ditayangkan kepada umum.
“Filem Pagari Bulan yang mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Finas misalnya, tidak seharusnya dilihat dari sudut komersial semata-mata tetapi ia juga merupakan karya khazanah negara,” katanya.
Terdahulu, Fahmi yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, apresiasi filem di universiti-universiti awam akan dipergiatkan bagi menyuntik semangat menonton filem tempatan dalam kalangan mahasiswa khususnya penuntut jurusan seni perfileman.
Kata beliau, hal demikian kerana mereka ini adalah generasi yang akan menjadi penyambung kepada masa depan industri perfileman tanah air. – 31 Mei, 2024
caption: Bagi melahirkan generasi yang celik sinema, Finas bakal menganjurkan siri jelajah majlis apreasiasi filem tempatan di institusi pengajian tinggi secara bulanan, mewujudkan program mentoring serta tayangan filem kenegaraan kepada umum.