KUALA LUMPUR – Gara-gara bakal menjayakan 2024 Suho Concert Su: Home In Kuala Lumpur, nama bintang Kpop, Suho tiba-tiba trending di platform X.
Pelakon dan seorang daripada anggota kumpulan Kpop terkemuka, Exo itu, bakal mengadakan konsert solonya di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 28 Julai ini, bermula jam 5 petang.
Ia adalah sebahagian daripada konsert jelajahnya di Asia yang menyaksikan Kuala Lumpur tersenarai sebagai lokasi pilihan selain Manila, Hong Kong, Taipei, Bangkok dan Seoul.
Meninjau platform X, ada netizen menawarkan perkhidmatan membantu membelikan tiket secara online untuk pengikut serta peminat Suho dengan mengenakan caj bayaran RM20 hingga RM40 setiap satu.
Jualan tiket Suho mendapat sambutan hangat dan tidak mustahil habis dijual dalam tempoh terdekat.
Suho atau nama sebenarnya Kim Jun-myeon adalah ketua kumpulan Exo dan sub-unit Exo-K yang mula melancarkan kerjaya solo nyanyiannya pada 30 Mac 2020, menerusi single extended player (EP), Self Potrait.
EP berjaya tersenarai dalam kedudukan nombor satu Carta Album Goan dan terjual 290,338 unit di South Korea.
Dia melancarkan EP keduanya, Grey Suit dan single utamanya dengan tajuk sama pada 4 April 2022 selepas menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Pada 23 Oktober tahun sama, penyanyi dan pelakon Thai, Mew Suppasit melancarkan single kolaborasi, Turn Off The Alarm bersama Suho.
Manakala pada 27 Oktober, Suho muncul dengan single runut bunyi, Call me a Freak untuk siri televisyen, Bad Prosecutor yang turut dijayakan seorang lagi anggota Exo, D.O.
Suho juga baru sahaja melancarkan EP ketiganya, 1 to 3 pada awal Mei lalu menampilkan dua single utama, dengan satu daripadanya menggunakan judul serupa, manakala satu lagi, Cheese menampilkan rakannya. Wendy yang bernaung di bawah agensi sama.
Malah, Suho bijak mengimbangkan kerjaya muzik dan nyanyiannya dengan lakonan, apabila membintangi beberapa filem serta drama.
Antara drama dijayakannya adalah One Way Trip (2016), The Universe’s Stars (2017), Rich Man (2018). Middle School Girl A (2018) How Are U bread (2020) serta Behind Your Touch (2023). – 23 Mei, 2024