KUALA LUMPUR – Pengarah filem dan ahli akademik, Mahadi J Murat berharap kerajaan akan memberi peluang untuk sebuah pertemuan diadakan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai saranan mengubah Coliseum yang sudah berusia 124 tahun sebagai pawagam nasional.
Mahadi ketika dihubungi Scoop berkata, dia telah pun menghantar surat saranannya itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada 7 Mei lalu.
“Setakat ini, masih belum ada maklum balas daripada mereka terhadap surat dihantar itu. Saya bersedia untuk berjumpa menteri (Dr Zaliha) jika diminta.
“Dalam surat itu saya menyatakan harapan saya agar kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbangkan untuk mengambil alih pawagam tersebut, dan menjadikan ia satu-satunya pawagam nasional bagi negara ini, sama seperti yang terdapat di negara-negara maju.
“Pawagam nasional adalah venue bagi menayangkan filem kandungan tempatan, tanpa dikekang tuntutan komersial seperti pada kebiasaannya. Pawagam ini juga menjadi hab karyawan dan seniman tempatan menjalankan kegiatan apresiasi karya yang mencerminkan nilai dan warisan budaya tempatan,” kata Pensyarah Komunikasi dan Pengajian Filem Universiti Malaya-Wales ini.
Mahadi yang turut memegang jawatan Presiden Screen Director’s Guild Malaysia (DGM) dan Pengerusi Persatuan Rumah Seni Malaysia (ArtsHouseMalaysia) berkata, dia turut menjelaskan pemilihan DBKL dalam saranannya itu.
“Saya menyebut DBKL kerana pada masa ini DBKL juga mengendalikan Panggung Anniversari dan Panggung Drama di ibu negara yang mana ia merupakan venue untuk persembahan muzik dan teater.
“Dengan adanya pawagam nasional ini, lengkaplah aktiviti berkaitan seni budaya dan perfileman yang menawarkan nilai Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelancong dari luar negara. Ia juga menjadi landmark Kuala Lumpur sebagai bandar raya berbudaya,” katanya.
Menurut Mahadi, seandainya pertemuan itu diadakan, dia ingin menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara-perkara yang wajar dilaksanakan andai ketiga-tiga entiti venue itu dikendalikan DBKL.
“Andai kata, DBKL tidak mempunyai kapasiti untuk mengendalikan ketiga-tiga entiti venue tersebut, saya menyarankan agar tugas tersebut diambil alih pihak ketiga.
“Misalnya, ArtsHouseMalaysia sendiri boleh dipertanggungjawab untu mengurus tadbir ketiga-tiga venue ini kerana ia mempunyai 100 ahli yang merangkumi lepasan pelbagai institusi pengajian tinggi yang terlibat dengan kegiatan seni kreatif drama, filem, teater, muzik, animasi, kandungan digital dan sebagainya.
“Dengan adanya sumber tenaga yang ramai ini, kita boleh aturkan pelbagai aktiviti di ketiga-tiga entiti venue itu pada setiap minggu kerana hakikatnya, pada masa ini, tiada sebarang aktiviti yang dijalankan di Panggung Anniversari dan Panggung Drama,” katanya.
Katanya, selain menggunakan dana DBKL untuk menggerakkan aktiviti di ketiga-tiga venue itu, mereka juga mampu membantu mencari penaja daripada syarikat-syarikat korporat melalui kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Apabila wujudnya aktiviti yang berjalan secara serentak dan konsisten di ketiga-tiga venue ini, ia akhirnya akan menjadi cermin kepada wajah bandar raya Kuala Lumpur serta wajah Malaysia itu sendiri.
“Kita asyik hendak boikot konsert-konsert artis luar yang datang ke Malaysia sedangkan anak-anak muda kita perlukan hiburan. Tapi, apa pula yang kita lakukan untuk menyediakan hiburan kita kepada anak-anak muda ini?
“Inilah fungsi ketiga-tiga venue ini yang saya ingin cuba jelaskan kepada pihak atasan jika pertemuan ini berlaku nanti,” katanya. – 23 Mei, 2024