KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi sedang meneliti isu membabitkan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang dilihat boleh memberi ancaman besar kepada industri muzik tanah air.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam meneliti gelombang AI yang berupaya melakukan ‘lip sync’ untuk meniru suara artis dan mengolah ayat atau lagu baharu.
“Tetapi masih terlalu awal untuk saya kongsikan apa-apa dapatan atau keputusan hasil daripada penelitian dibuat itu.
“Kreativiti AI memang boleh hasilkan banyak content (kandungan) tetapi apabila ia melibatkan isu hak cipta, kita perlu adakan banyak perbincangan dengan pihak yang berkait rapat.
“Ketika ini, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) serta badan-badan lain terbabit masih belum membangkitkan isu ancaman AI ini kepada pihak kementerian,” katanya selepas menghadiri malam gala dan tayangan perdana Memoir Seorang Guru di sini, malam tadi.
Menurut Fahmi lagi, kementeriannya bagaimanapun akan berusaha mengambil langkah pro aktif untuk melakukan perbincangan bersama pihak industri muzik bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.
“Kita juga akan meneliti saranan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) agar kerajaan menggubal undang-undang melindungi hak cipta tempatan dan mengawal selia pembangunan teknologi AI di Malaysia.
“Kita akan bawa input industri kreatif ini kepada Mosti untuk diteliti dengan lebih lanjut lagi. Perkara ini tidak perlu di bawa ke Parlimen,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi RIM, Rosmin Hashim dalam satu laporan baru-baru ini berkata, penjanaan muzik menerusi mesin AI menjadi ancaman kepada penggiat industri di seluruh dunia serta tempatan.
“Di Eropah, kita boleh lihat sudah ada akta baharu iaitu Akta AI bertujuan melindungi penggiat industri muzik. Akta ini memerlukan pembangun AI mendapatkan kebenaran daripada pemegang atau pemilik hak cipta untuk melatih mesin AI.
“Apa yang menjadi isu adalah mesin AI mengeluarkan atau menjana lagu baharu tanpa kebenaran pemilik atau pemegang hak cipta.
“Jadi, menerusi akta itu, mesin AI tidak boleh membuat pendapatan menerusi penghasilan lagu di mana kebenaran tidak diperoleh dari pemegang hak cipta terlebih dahulu,” katanya. – 21 Mei, 2024