Kalau betul peminat hargai artis lama, tunjuk sokongan bukan luah kagum di bibir saja: Ahmad Idham

Sebagai penghormatan, dia turut menggunakan khidmat pelakon senior dalam filem seram terbaharunya, Saka Perawan

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah Ahmad Idham menganggap tindakannya menggunakan khidmat ramai pelakon senior dan legenda dalam filem komedi seram terbaru arahannya, Saka Perawan tidak lebih sebagai satu tribute (penghormatan) untuk menghargai bakat dan sumbangan mereka.

Antara pelakon ditampilkan dalam filem terbitan Grand Brilliance Studio itu adalah Datuk Fauziah Nawi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Wilma Muhammad, Anne Abdullah, Azlee Senario, Yassin Senario serta Allahyarham Hamdan Senario.

Azlee Senario. – Gambar PR, 16 Mei, 2024

Bercakap kepada Scoop, Ahmad Idham berkata, melalui penglibatan mereka di TikTok Live, dia dapat melihat betapa besarnya pengaruh dan pengikut mereka di aplikasi tersebut.

“Contoh, macam Azlee dan Yassin Senario, bila mereka buat live di TikTok, ramai peminat dan pengikut yang masuk, berinteraksi dengan mereka dan memberikan pelbagai jenis hadiah.

“Saya dapat melihat sendiri bahawa mereka ini benar-benar dihargai. Membuktikan bahawa mereka sebenarnya masih ada pengikut serta peminat.

“Tapi, orang dalam industri sendiri yang menghukum mereka dan tidak memberikan peluang untuk mereka bekerja,” katanya.

Atas sebab itu, kata Idham, dia cuba mengetengahkan bakat mereka menerusi filem komedi seram terbaharu arahannya itu yang berkisar mengenai kisah masyarakat kampung tetapi sarat dengan kritikan sosial.

“Bila kita menyentuh mengenai kisah masyarakat berkaitan gerhana bulan dan saka, maka kita harus tampilkan pelbagai jenis ragam orang kampung.

“Sebagai pembikin filem, saya rasa pelakon legenda ini mampu membawakan watak yang sememangnya wujud dalam dunia realiti ini dengan baik. Memandangkan filem ini genrenya komedi seram, jadi tunjang filem ini haruslah dikemudi pelakon komedi.

“Saya gabungkan pelakon lama dan baharu. Pelakon lama seperti Azlee dan Yasin, manakala yang baharu pula Man Raja Lawak dan Atu Zero. Ada juga pelakon komedi yang bawa watak cameo misalnya, Ieda Moin,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat 20 pelakon yang ditampilkan dalam filem itu termasuklah pelakon muda dan terkenal seperti Sophia Albarakbah.

Namun pada masa sama, Ahmad Idham berkata, bagi memastikan pelakon legenda tersebut kekal relevan, peminat harus memberikan sokongan terhadap karya seni mereka.

“Dalam hal ini, bila peminat tahu mereka ini berlakon dalam Saka Perawan, tunjuklah sokongan dengan datang menonton filem ini. Usahlah sekadar menyatakan rasa kagum dan penghargaan itu di bibir sahaja.

“Ramai peminat sememangnya tidak sedar bahawa mereka juga tidak membantu artis-artis lama ini kekal relevan apabila tidak menyokong karya mereka,” katanya.

Saka Perawan yang bakal ditayangkan di pawagam pada 27 Jun ini menjalani penggambaran pada pertengahan tahun lalu dan mengisahkan mengenai penyakit misteri seorang nenek berusia 80 tahun.

Ia turut menyelitkan pelbagai kritikan sosial seperti isu bomoh, isteri menggunakan sihir menundukkan suami, suami kaya menjadi kartel serta kemudahan infrakstruktur di kawasan itu yang masih tidak ditunaikan pihak bertanggungjawab. – 16 Mei, 2024

Topics

 

Popular

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related