Cipta sejarah, Sheriff bakal ditayangkan di Hong Kong 6 Jun ini

Tayangan filem Sheriff itu dibuat atas permintaan syarikat pengedaran filem, Warner Bros

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pihak Skop Productions mendedahkan filem aksi kepolisian, Sheriff arahan Syafiq Yusof yang meraih kutipan lebih RM58.5 juta pada Isnin lalu, bakal ditayangkan di Hong Kong bermula 6 Jun ini.

Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi Scoop berkata, tayangan filem Sheriff itu dibuat atas permintaan syarikat pengedaran filem, Warner Bros.

“Sewaktu tayangan malam gala Sheriff, kita memang ada mengundang wakil Warner Bros di Hong Kong untuk datang menyaksikan filem ini. Tidak sangka pula mereka berminat untuk tayangkan Sheriff di sana.

“Bagi saya, ini adalah suatu permulaan yang baik untuk filem Melayu tempatan meluaskan pasaran di luar dan ini juga kali pertama filem terbitan Skop Productions berjaya menarik minat syarikat pengedar di sana,” katanya.


Kata Datuk Yusof Haslam, pihak Warner Bros telah meminta untuk menukar tajuk filem kepada Mass Killer ‘Sheriff’ tetapi bahasa asal filem masih dikekalkan bersama sari kata dalam bahasa Inggeris serta Mandarin – Gambar Astro Shaw, 15 Mei, 2024

Yusof berkata, dia bagaimanapun masih tidak pasti berapa jumlah pawagam yang akan menayangkan Sheriff di Hong Kong.

“Hal itu masih lagi dalam perbincangan. Apa yang pasti, Warner Bros di Hong Kong sudah mendapat kelulusan daripada ibu pejabat Warner Bros di Amerika Syarikat untuk menayangkan Sheriff.

“Namun, mereka meminta pihak kami untuk menukar tajuknya kepada Mass Killer ‘Sheriff’ tetapi bahasa asal filem ini masih lagi dikekalkan bersama sari kata dalam bahasa Inggeris serta Mandarin,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata, filem Sheriff akan ditayangkan di pasaran Indonesia bermula 23 Mei ini.

“Seperti Hong Kong, tayangan Sheriff di Indonesia dilakukan atas permintaan pihak di sana dengan jumlah 100 pawagam.

Jelas Yusof, andai Sheriff berjaya mendapat sambutan di Indonesia, berkemungkinan jumlah pawagam akan ditambah – Gambar Astro Shaw, 15 Mei, 2024

“Tapi, saya tidak pasti sejauh mana mereka boleh terima Sheriff. Sebab, waktu kita tayang filem Polis Evo 3, ia tidak berjaya meraih kutipan yang memberangsangkan. Hal yang sama turut berlaku kepada filem Mat Kilau.

“Sebab selera mereka agak berbeza. Kalau kita perhatikan, penonton di sana lebih cenderung kepada filem-filem seram.

“Sebab itu, Munafik 2 berjaya di sana. Kalau hendak diikutkan, mereka memang mahu sangat adanya kesinambungan, Munafik 3. Tetapi, dengan apa yang telah terjadi, sukar bagi perkara itu menjadi kenyataan,” katanya.

Jelas Yusof, andai Sheriff berjaya mendapat sambutan di Indonesia, berkemungkinan jumlah pawagam akan ditambah.

“Jika tidak dapat sambutan, pihak kami yang terpaksa tanggung kerugian kerana walaupun pihak di sana yang membuat permintaan untuk menayangkan Sheriff, tapi kami juga kena keluarkan duit.

“Kalau rugi pun, tidak apalah. Asalkan kita dapat menjaga hubungan dengan Indonesia. Bagi saya, itu juga satu aspek yang penting,” katanya.

Yusof juga memaklumkan sidang media dan Malam Gala Sheriff bakal diadakan di Jakarta, Indonesia, beberapa pelakon termasuk pengarah akan turut dibawa ke sana. – 15 Mei, 2024

Topics

Popular

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related