KUALA LUMPUR — Kejayaan bebeberapa filem tempatan meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, selain mencapai kutipan pecah panggung luar biasa, menambahkan lagi keyakinan pelabur dalam dan luar, melabur dalam industri perfileman negara.
Perkara ini dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib sebaik sahaja agensi insurans terkemuka Malaysia, Norman Pang Group (NPG) mengumumkan pelaburan sebanyak RM25 juta untuk industri berkenaan.
Katanya, pelaburan itu sememangnya dalam perancangan diuar-uarkan Finas pada awal tahun ini, mengenai hasratnya untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat swasta dan rakan industri, agar ia tidak perlu terus bergantung kepada dana atau bantuan kerajaan seratus-peratus.
“Hasrat kita juga adalah mengubah sistem di mana kita mahu adakan lebih banyak kerjasama dengan rakan bisnes tempatan mahupun antarabangsa, justeru Finas sangat mengalu-alukan komitmen NPG ini.
“Apatah, ia adalah sebuah syarikat agensi insurans yang berprofil tinggi dan kita harap lebih banyak lagi syarikat swasta akan turut mengambil langkah sama untuk membantu industri filem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman rasmi Pre-IPO of NPG on Singapore Exchange di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Evolve Capital Advisory, Jerry Chua dan Pengerusi MCI Capital, Cannis Chan.
Menurutnya, melalui perbincangan diadakan bersama NPG sebelum ini, mereka dapat melihat potensi dalam industri filem dan sasaran utama syarikat agensi insurans terbabit, adalah melabur dari sudut pembikinan serta pengedaran filem.
“Mereka juga menyatakan bahawa pelaburan sebanyak RM25 juta itu akan digunakan untuk tempoh tiga hingga lima tahun, namun ia juga bergantung bagaimana mereka menguruskan dana itu nanti. Lagi besar dana lagi bagus.
“Tapi, kita kena ‘go step by step’ dan selepas ini, pihak Finas akan membantu NPG mencari skrip bagus untuk diperkenalkan kepada mereka. Namun, tidak akan terlibat dari sudut penilaian skrip kerana kita percaya, mereka pasti mewujudkan pasukan media dalaman dan pakar rujukan dalam industri untuk membantu mereka terhadap penglibatan dalam sesebuah projek filem tertentu,” katanya.

Azmir berkata, adakalanya, pelabur tidak akan membuat pelaburan secara 100 peratus tetapi mungkin hanya melabur sebanyak 20 peratus.
“Inilah yang berlaku kepada filem Abang Adik apabila mereka mempunyai lapan pelabur, termasuk Taiwan dan Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa.
“Sebetulnya, inilah amalan terbaik patut diterapkan dalam industri filem kita. Kalau ditanyakan Datuk Yusof Haslam sendiri, dia tidak pernah menjadi pelabur tunggal dalam filem terbitannya,” katanya.
Jelas Azmir, pelaburan itu dapat mengembangkan dan mengangkat industri perfileman Malaysia, sejajar misi Finas untuk merangsang pertumbuhan industri perfileman dalam negara, selain ketampakan filem kita di persada antarabangsa melalui kerjasama awam dan swasta.
“Finas sudah buka laluan menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam industri filem dan saya harap, peluang ini digunakan penggiat industri kita dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi NPG, Datuk Seri Norman Pang berkata, pelaburan untuk menggalakkan industri perfileman tempatan yang meliputi spektrum inisiatif, termasuk pembikinan filem, pengedaran dan aktiviti berkaitan itu, menunjukkan komitmen syarikat berkenaan untuk memupuk pertumbuhan serta inovasi dalam ekosistem hiburan di Malaysia.
Ujarnya, NPG membuat keputusan pelaburan itu kerana industri perfileman tempatan memiliki potensi untuk menjana wang, berkembang dan menembusi peringkat antarabangsa.
“Saya juga melihat ramai berbakat dalam industri ini, jadi kali ini saya ingin melakukan sesuatu yang berbeza bagi menyokongnya,” katanya.
Norman Pang berkata, pengalamannya yang pernah terbabit dalam industri perfileman turut menjadi pendorong untuk beliau membuat pelaburan berkenaan.
“Saya sangat suka industri hiburan, saya sendiri pernah berlakon dalam filem tempatan sebelum ini iaitu filem Lee Chong Wei. Jadi, saya tahu bagaimana industri hiburan berfungsi.
“Dengan kemampuan saya miliki, saya cuba bantu kembangkan filem di peringkat antarabangsa. Perancangan besar ini bukan sahaja tertumpu di Malaysia tetapi juga di sana (antarabangsa).
“Sebab itulah saya berjumpa dengan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, (selain) berbincang dengan rakan-rakan kongsi. Saya percaya dengan apa saya lakukan ini,” katanya.
Menurutnya, hal utama yang menjadi tumpuan pihaknya adalah menghasilkan filem tempatan komersial untuk pasaran tempatan.
“Kita cuba untuk buat keuntungan sebelum masuk pasaran antarabangsa. Harapan saya, kami dapat jana keuntungan pada 2025,” katanya. – 13 Mei, 2024