KUALA LUMPUR – Penyanyi Tajul mengakui terkilan apabila Wany Hasrita menolak tawaran bergandingan dengannya menerusi lagu baharu, Resipi Berkasih memandangkan mereka pernah dikenali sebagai pasangan duet serasi.
Tajul dan Wany sebelum ini pernah merakamkan lima lagu duet bersama iaitu Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Aku Serius, Tragedi Cinta dan Gurauan Berkasih yang mana kesemua lagu itu mendapat jutaan tontonan.
“Saya akur dan menghormati keputusan Wany Hasrita jika beliau tidak mahu lagi berduet dengan saya. Memang ada sedikit terkilan sebab bagi saya gandingan kami serasi dan peminat suka jika kami duet bersama.
“Namun saya harus memahami situasi Wany sekarang yang sudah berumah tangga dan mungkin keadaan sekarang membuatkan dia tidak selesa berduet dengan saya,” katanya.

Tajul juga terpaksa akur apabila syarikat rakamannya, FMC Music menggandingkannya dengan Muna Shahirah bagi menyempurnakan projek album tribute Istimewa untuk Allahyarham Achik Spin yang sedang dalam proses pembikinan.
“Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana mencadangkan agar Muna menggantikan Wany. Muna bukan sahaja memberi kerjasama yang baik pada saya, bahkan berjaya membuat Resipi Berkasih versi baru ini lebih ‘wow’.
“Walaupun ini gandingan pertama kami, tetapi saya tak sangka ia berjalan lancar dan sangat mudah,” katanya.
Sementara itu, Muna yang sebelum ini pernah digandingkan di dalam lagu bersama Afieq Shazwan dan Zack Zakwan berkata, tidak menjadi masalah baginya untuk bekerjasama dengan sesiapa asalkan lagu itu bersesuaian dengan vokalnya.

“Saya sedikit pun tidak merasa kecil hati apabila saya dijadikan pilihan kedua untuk lagu ini kerana gandingan duet Tajul sebelum ini adalah Wany Hasrita.
“Namun, saya lebih melihat peluang yang datang ini ke arah positif. Sebab saya yakin setiap aturan yang Allah tetapkan. Malah saya rasa bangga dapat terlibat dalam projek khas ini,” katanya.
Bagaimana agaknya gandingan vokal Tajul dan Muna menerusi lagu Resipi Berkasih ini yang mula dilancarkan di YouTube, malam tadi?
Dalam tempoh 21 jam dilancarkan, muzik video lagu ciptaan dan lirik Patrick Kamis ini berjaya mendapat 20,000 tontonan. – 10 Mei, 2024