KUALA LUMPUR – Rapper Korea, B.I bakal kembali ke negara ini bagi menjayakan konsert solo jelajahnya, B.I 2024 Hype Up Kuala Lumpur pada Jun ini, selepas kali terakhir mengadakan persembahan pada Disember 2023.
Konsert itu akan diadakan dii Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini, bermula jam 6 petang dengan harga tiket antara RM338 hingga RM778 dan akan mula dijual Isnin ini.
Malaysia merupakan destinasi kedua terakhir jelajah Asia itu. Ia akan dimulakan di Seoul pada 18 Mei ini diikuti Hong Kong, Bangkok, Singapura, Jakarta, Malaysia sebelum berakhir di Macau pada Julai.
Pengumuman konsert itu dibuat sendiri oleh B.I minggu lalu namun ketika itu dia masih belum mendedahkan tarikh persembahan konsertnya di Malaysia, yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment.
Pengumuman secara rasmi konsert di Malaysia itu mula dibuat semalam.
B.I atau nama sebenarnya Kim Han-bin memulakan kerjaya solo pada 2021 selepas meninggalkan agensi YG Entertainment dan kumpulan Kpop, IKon yang mula disertai dan diterajuinya sejak September 2015.
Terkenal dengan vokal seraknya yang tersendiri dan melodi yang mengesankan, B.I yang pernah terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah berjaya menawan hati peminat dengan lagu hits seperti BTBT, Illa Illa, dan Keep Me Up.
Album studio terbarunya, ‘To Die For,’ yang dikeluarkan pada Jun 2023, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bintang yang sedang meningkat naik dalam industri muzik. – 3 Mei, 2024