KUALA LUMPUR — Meskipun ramai penonton yang tidak berpuas hati dengan penamat cerita ‘Khunsa’ malam tadi kerana jalan cerita yang dianggap tergantung namun drama karya dan arahan Shahrulezad Mohameddin ini mampu memberikan pemahaman jelas mengenai golongan tersebut.
Salah seorang pelakon utamanya, Azhan Rani ketika dihubungi Scoop berkata, selepas terlibat dalam produksi drama berkenaan barulah dia mengetahui setiap kes khunsa adalah berbeza.
Sebelum ini, Azhan hanya mengetahui golongan khunsa mempunyai dua alat kelamin tetapi kini dia dapat mendalami lebih lanjut tentang khunsa.
“Saya juga mengetahui mereka boleh mengandung bila mereka sudah menjahit salah satu alat kelamin dan ada pula yang bila sudah memilih menjadi wanita, naluri mereka mampu berubah semula kepada lelaki,” katanya.
Tambah Azhan Rani lagi, banyak lagi isu rumit lain yang perlu dihadapi golongan khunsa termasuk ketika berlaku kematian.
“Bagi saya, pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mahkamah perlu tentukan jantina mereka dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Meskipun isu mengenai golongan khunsa masih tabu dalam masyarakat namun ia perlu dihadapi dan memerlukan pemahaman semua pihak.
“Shahrulezad pernah menyatakan dalam media sosialnya, walaupun di dalam Al-Quran tidak dinyatakan secara jelas mengenai jantina khunsa tetapi ia wujud dan mungkin Allah SWT mahu kita mengkaji perkara ini.
“Waktu drama ini mula ditayangkan, saya melihat sendiri bagaimana isu ini dibahaskan netizen dan ada yang rasa mereka sudah cukup faham mengenai isu ini. Tapi, bila mereka menonton karya ini, baru mereka menyedari bahawa masih banyak perkara yang mereka belum faham sepenuhnya,’’ katanya.
Azhan juga mengakui Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat bijak menangani isu khunsa dalam karya drama tersebut terutama penerimaan masyarakat.
“Dalam drama ini saya mewakili bapa era 70-an ke 80-an yang ego dan tidak boleh menerima kehadiran anak khunsa. Ketika itu, segala ilmu atau info bukanlah di hujung jari dan dia cuma melakukan apa yang dia rasa betul tanpa merujuk kepada agama dan undang-undang.
“Dia adalah punca kepada segala musibah demi musibah yang berlaku terhadap anaknya di dalam cerita itu. Itulah yang kita nak sampaikan kepada masyarakat bahawa bapa tersebut perlu mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada anaknya,’’ katanya.
Sambil meluahkan rasa bertuah kerana terlibat dalam drama itu, Azhan berkata Shahrulezad sudah lama cuba menghasilkan idea seumpama itu.
“Kalau hendak diikutkan, 10 tahun yang lalu Shahrulezad sudah buat cerita ini tapi orang tolak kerana takut dengan idea dan subjeknya. Saya juga bangga kerana orang tengok drama ini bukan semata-mata kerana hiburan tetapi untuk menggali ilmu.
“Ia bukan sahaja menjadi karya paling susah buat Shahrulezad tetapi juga saya sebagai pelakon kerana ia mengambil masa terlalu panjang untuk disiapkan dengan pelbagai cabaran lain,” katanya.
Mengenai episod akhirnya yang membuatkan ramai yang tidak puas hati kerana ceritanya tergantung, Azhan berkata, dia difahamkan akan ada musim kedua drama Khunsa dan namun hanya Shahrulezad yang mampu mengesahkannya. – 26 April, 2024