KUALA LUMPUR – Garapan filem terbaharu pengarah Syafiq Yusof, Sheriff: Narko Integriti (Sheriff) selayaknya diangkat antara karya terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman tempatan!
Sempat juga bermain di fikiran penulis, filem ini kalau dibawa mewakili Malaysia dalam senarai filem bahasa asing di anugerah berprestij Hollywood, Anugerah Akademi (Oscar), memang kita tidak akan berasa malu.
Malah sememangnya boleh dibanggakan dengan hasil kerja anak bongsu penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini.

Mengangkat topik sisi gelap dalam jabatan polis menerusi naskhah itu, Syafiq berjaya menterjemahkan teka-teki yang menjadi persoalan, hingga ke akhir plot filem.
Walaupun ramai mengatakan seperti sudah mengetahui keseluruhan jalan cerita Sheriff seperti dipertontonkan menerusi trailer filem itu, anda jangan tertipu!
Ini kerana jalan ceritanya memang berbeza sama sekali dan hanya 20 peratus sahaja dipaparkan dalam teaser tersebut, manakala selebihnya anda harus tonton Sheriff untuk mengetahui jawapan kepada persoalan yang bermain dalam karya ‘mahal’ ini.
Perbezaan di antara Sheriff dengan filem kepolisan lain ialah subjek ‘polis tangkap polis’ yang menampilkan konsep baru jarang dipersembahkan dalam karya tempatan dipanggil ‘reverse whodunnit’ atau lebih dikenali ‘howcatchem’.
Ia adalah konsep yang mana penonton sudah tahu siapa pembunuh tetapi bagaimana dia akan ditangkap dan di situlah penonton mula berteka-teki, mengenai siapa sebenarnya ‘polis cum penjenayah sebenar’ dalam filem ini.
Bercakap mengenai lima bintang utamanya, iaitu Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Elizabeth Tan dan Azira Shafinaz, mereka semua memainkan watak dengan cukup baik serta berkesan, terutama sekali mainan emosi daripada Syafiq Kyle (Inspektor Nazri) selaku Meth Killer yang wajar diberikan standing ovation!
Zul Ariffin juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya membawa watak pegawai polis bersikap sinikal bernama Sheriff yang ditugaskan menangkap anggota polis mengamalkan salah laku rasuah dan beberapa jenayah lain.
Dua watak ‘bunga’, Azira dan Elizabeth juga bukan sekadar ‘pelakon patung cendana’ sebaliknya peranan masing-masing cukup kuat, sekali gus mengangkat tema pemerkasaan wanita.
Kedua-dua wanita itu mampu melakukan aksi tembak-menembak yang cukup mendebarkan dengan baik.

Namun, sedikit mengecewakan dengan mutu lakonan Aaron selaku ketua penjenayah, Tony Ifrit kerana bagi penulis, intonasi suara pelakon itu perlu lebih lantang agar kelihatan ‘kejam’, sesuai dengan statusnya sebagai tokan sindiket dadah terbesar yang diburu polis.
Dari aspek sinematografi dan pemprosesan warna digunakan juga kena dengan setiap situasi dipaparkan, seperti adegan kejar-mengejar dan tembak-menembak digarap cukup kemas serta teknik pergerakan kamera yang tidak memeningkan kepala penonton.
Secara keseluruhannya, filem ini sangat berbaloi untuk ditonton di pawagam. Penulis tidak boleh bercerita terlalu panjang, dibimbangi jadi pula spoiler, opps.
Sheriff adalah filem terbitan bersama Astro Shaw dan Skop Productions yang menjalani penggambaran selama 81 hari di sekitar Lembah Klang, dengan kos pembikinan RM6 juta.
Filem hebat ini turut dibintangi Shaharuddin Thamby, Esma Daniel, Kamal Affandi Hashim, Kodi Rasheed, Amir Nafis, Hazama dan Hasnul Rahmat.
Ia ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini (18 April).
Rating: 4.8/5
Sinopsis: Sheriff menampilkan watak Nazri (Syafiq Kyle), iaitu anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.
Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendirian kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.
Sheriff (Zul Ariffin), seorang anggota daripada Jabatan Integriti pula dihantar Ketua Polis Negara untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’ dan dia ditugaskan bersama Nazri di bawah satu jabatan. – 18 April,2024