KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelang Aidifiltri, pasti ada banyak insiden atau perkara menarik berlaku sehingga tular di media sosial dan menimbulkan perbincangan atau perdebatan dalam kalangan netizen.
Tahun ini juga tidak terkecuali. Isu lagu raya, baju raya, tarikh raya, kesesakan lalu lintas, sikap prihatin masyarakat Malaysia serta jimat raya buat kuih sendiri antara yang menjadi sorotan menarik pada Syawal kali ini.
Scoop himpunkan enam sorotan ini untuk tatapan anda semua.
Panik bila Malaysia dijangka sambut raya 11 April (Khamis)
Sebaik sahaja Arab Saudi mengumumkan negara itu akan menyambut Aildifitri pada 10 April, beberapa media mula melaporkan Malaysia berkemungkinan akan meraikan Syawal sehari selepas tarikh itu iaitu 11 April (Khamis).
Ada yang menyambut berita itu dengan tenang. Namun, ada juga yang panik kerana terpaksa mengubah perancangan atau persiapan sambutan hari raya mereka.
Bagaimanapun keadaan kembali tenang apabila Malaysia mengumumkan akan menyambut raya sama seperti Arab Saudi.
Ramalan rona tema baju raya ‘Brick Orange’ meleset?
Sebulan sebelum raya, ‘Brick Orange’ (jingga) dikatakan bakal menjadi warna tema baju raya tahun ini sehingga ia menjadi tular di platform TikTok.
Namun, netizen mula mempersoalkan hal ini apabila lebih ramai menyarung baju raya rona hijau pada raya pertama.
Lagu raya De Fam viral sampai ke Korea dan Jepun!
Tahun ini, Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam menjadi lagu raya paling tular kerana melodinya yang catchy dan liriknya yang berunsur humor.
Digemari pelbagai golongan usia dan bangsa, lagu ini paling banyak digunakan netizen dalam video parodi TikTok mereka dan juga lagu latar dalam hantaran Instagram (IG).
Bukan setakat di Malaysia, ia juga menjadi tular di beberapa negara temasuk Singapura, Brunei , Indonesia, Korea, Jepun sehingga ke Afrika.
Bahkan, kelab bola sepak Juventus dan kumpulan K-Pop wanita Korea Selatan, Trib.be turut menggunakan lagu ini dalam video mereka.
Jimat raya bila buat kuih raya sendiri

Peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan anak-anak yang memulakan persekolahan pada bulan Mac antara faktor ramai yang membuat kuih raya sendiri sebagai langkah berjimat.
Malah, rata-rata mereka mengakui berasa bangga apabila berjaya menghasilkan kuih raya buatan sendiri buat kali pertama.
Kesesakan di lebuh raya paling luar biasa

Saban tahun, kecuali ketika pandemik Covid-19, kesesakan jalan raya menjelang raya bukanlah sesuatu yang pelik.
Namun kebanyakan netizen yang pulang ke kampung halaman mengakui berhadapan kesesakan luar biasa tahun ini, termasuk perjalanan pulang ke ibu kota.
Bukan setakat menempuh kesesakan teruk, netizen juga mendedahkan tandas awam di hentian Rehat & Rawat (R&R) juga sesak sehingga terpaksa beratur panjang.
Malaysia prihatin, sikap yang dipuji

Menyedari ramai yang terperangkap dengan kesesakan yang melampau sewaktu pulang beraya, segelintir masyarakat yang prihatin menawarkan tandas rumah mereka kepada orang ramai.
Menariknya, pemilik rumah tersebut siap meletakkan plakad yang tertulis: Tandas free (percuma)! Masuk jerr (sahaja).
Sementara itu, tidak kurang juga ada yang berusaha untuk meletakkan papan pada jalan yang teruk untuk memudahkan laluan kepada pengguna kenderaaan.
Malah ada juga mengagihkan tembikai yang sudah dipotong kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan. – 17 April, 2024