KUALA LUMPUR – Tak sah raya kalau tak dengar lagu raya! Dan Malaysia adalah antara negara yang saban tahun, paling banyak mengeluarkan lagu berkaitan dengan tema raya atau sambutan raya setiap kali menjelangnya Syawal.
Tahun ini, jika benar-benar dihitung, hampir 30 lagu raya telah dihasilkan penyanyi-penyanyi muda dengan pelbagai elemen dan nuasa muzik yang memenuhi cita rasa pendengar.
Ada yang tampil dengan elemen muzik M-pop, nuansa era 50-an, joget, retro 60-an dan funky rock zapin dan banyak lagi. Apa yang pasti, ada di antaranya yang dihasilkan dengan begitu catchy, kreatif dan menarik tanpa mengabaikan kualiti produksi muzik.
Jom ikuti senarai 15 lagu raya baharu 2024 yang dihimpunkan Scoop sempena sambutan raya tahun ini. Selamat Hari Raya semua! Maaf Zahir dan Batin.
HAHAHAHAHari Raya – Ernie Zakri
Lagu ini wajar sekali diangkat sebagai lagu raya terbaik 2024 kerana mempunyai nuansa era 50-an, namun susunan muziknya disuntik dengan elemen bunyian moden, menjadikannya tidak jemu didengar.
Satu kelainan yang cukup menarik, walaupun tema lagu ini menceritakan tentang kemeriahan saat menyambut raya. Lebih menarik apabila Ernie sendiri turut menyanyikan lagu ini dengan stail nyanyian ala biduanita negara, Puan Sri Saloma.
Biarpun baru sahaja dilancarkan pada 27 Mac lalu, namun lagu raya ciptaan Ernie sendiri bersama Mage, Glowrush dan Ajay Amai yang tular di TikTok ini masih lagi trending dan menduduki tangga kelima di platform YouTube dengan meraih lebih 500,000 tontonan.
Alamak Raya Lagi – De Fam
Lagu ini menjadi lagu raya paling digemari pada tahun ini kerana melodinya yang catchy dan ia juga mempunyai gabungan muzik moden dan tradisional yang diadun dengan begitu bijak sekali. Lagu ini bakal menjadi lagu raya yang ‘lejen’ seperti mana lagu Dolla, Raya Raya Raya.
Ia juga mempunyai tema yang menarik kerana menceritakan tentang keadaan seseorang yang kelam kabut dan tidak sempat membuat persiapan raya untuk balik kampung, buat kuih raya, beli baju raya sehinggalah menyediakan juadah raya.
Sejak dilancarkan di platform YouTube pada 8 Mac lalu, lagu ciptaan Mage, Ja’a, Awan, Glowrush dan Sophia Liana ia berjaya meraih lebih 7.4 juta tontonan serta menjadi tular di TikTok.
Itulah kelebihannya apabila lagu catchy sebegini dilancarkan sebulan lebih awal.
Raya Mana? – Nabila Razali
Bijak sungguh komposer Ezra Kong apabila menghasilkan lagu raya catchy buat Nabila Razali yang kebetulan baru saja mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Nik Iruwan dan bakal menyambut raya pertama bersama suami.
Sepertimana judulnya, tema lagu ini mengangkat isu yang sering dihadapi suami dan isteri setiap kali ingin pulang beraya, namun ia menceritakan tentang luahan seorang anak perempuan apabila dirinya terpaksa beraya di rumah keluarga suaminya dahulu.
Lagu yang mempunyai gabungan muzik moden dan tradisional ini juga sedang trending di tangga ketiga di platform YouTube dengan meraih tontonan lebih satu juta sejak ia dilancarkan pada 22 Mac lalu serta tular di TikTok.
Raya Di Rumah Dinda – Xpose & Dina Nadzir
Bagi pasangan yang sedang bercinta, lagu ini memang sesuai untuk anda semua. Lebih-lebih lagi yang sudah merancang untuk beraya di rumah pasangan kekasih pada tahun ini.
Satu tema yang cukup menarik dan jarang sekali ada dalam lagu raya kita. Tidak hairanlah kenapa lagu ini menjadi trending di tangga keempat di platform YouTube dengan meraih lebih 680,000 tonton sejak ia dilancarkan pada 24 Mac lalu.
Lagu ini juga mempunyai stail lagu Cinta SMS yang pernah dipopularkan Senario bersama Allahyarham Adibah Noor. Ada juga peminat yang berasa vokal Dina mirip vokal Adibah.
Raya Kita Raya – Hael Husaini
Memang ramai yang ternanti-nantikan lagu raya terbaharu daripada Hael Husaini kerana ingin tahu apa kelainan yang cuba dilakukanya kali ini.
Nampaknya, lagu raya terbaharu daripada Hael Husaini ini memang tidak mengecewakan langsung dan dia tetap menyelitkan trademark dengan drama berserta tarian dan koreografi menarik bersama sekumpulan penari lelaki dalam muzik video rasminya.
Raya Kita Raya ciptaan Hael Husaini bersama Ezra Kong ini sedang trending di YouTube dengan menduduki tangga ke-29 serta meraih lebih 154,000 tonton sejak ia dilancarkan poada 30 Mac lalu.
Ketipak Ketipung Raya – Aisha Retno dan Aziz Harun
Sebuah lagu joget raya moden yang menampilkan kolaborasi di antara penyanyi Malaysia, Aisha Retno dengan penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun.
Memang lagu ini memenuhi cita rasa pendengar muda yang meminati kedua-dua penyanyi yang semakin meningkat ini.
Lagu ciptaan Aisha dengan Aziz ini sedang trending di tangga kedua di platform YouTube dengan meraih tontonan lebih 1.1 juta sejak dilancarkan pada 22 Mac lalu.
Meriahnya Raya – Shiha Zikir
Sebuah lagu raya berentak Masri moden ciptaan Shiha Zikir sendiri bersama Arul dan Zimi yang cukup menarik. Apatah lagi bila muzik video dihasilkan dengan elemen komedi cukup menghiburkan daripada Shiha.
Walaupun lagu ini tidak tular seperti lagu-lagu lain dan hanya meraih lebih 153,000 tonton di YouTube, namun ia sebuah lagu raya 2024 yang wajib didengar.
Hari Raya – Hael Husaini
Bukan satu, tapi dua lagu raya baru yang dihasilkan Hael Husaini pada tahun ini. Namun, lagu ini boleh dianggap lagu raya paling unik pernah dihasilkan dalam sejarah industri muzik di Malaysia kerana ia menggabungkan elemen joget Melayu dan India yang cukup rancak.
Lagu ini menceritakan kisah seseorang yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman kerana suasana sambutan rayanya terasa lebih seronok dan meriah.
Sejak dilancarkan pada 20 Mac, lagu ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh ini berjaya meraih lebih 200,000 tontonan.
Hai Nak Raya Dah – Cherry On Top
Jarang ada lagu raya yang menggabungkan elemen muzik funky rock dan zapin seperti lagu Hai Nak Raya Dah yang dipersembahkan kumpulan muzik baharu, Cherry On Top yang memiliki lima pemuzik lelaki termasuk Yamani Abdillah dan seorang penyanyi perempuan, Holy.
Tapi percayalah, anda boleh menikmati lagu raya ini kerana ia memang catchy dan elemen muzik funky rocknya tidak begitu keras dan digabung dengan cukup baik bersama elemen muzik zapin.
Sejak dilancarkan pada 1 April lalu, lagu ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira Sham ini telah meraih lebih 10,000 tontonan.
Macam Dulu Dulu – Marsha Milan dan Khai Bahar
Seronok betul bila dengar lagu raya baru tahun ini kerana dihasilkan dengan pelbagai rentak.
Lagu Macam Dulu Dulu yang dipersembahkan secara duet oleh Marsha Milan dan Khai Bahar ini mempunyai rentak retro 60-an yang catchy.
Sayangnya, lagu ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok ini bagaimanapun hanya berjaya meraih lebih 45,000 tontonan sejak dilancarkan di platform YouTube pada 22 Mac lalu.
Ada yang mengkritik penghasilan muzik videonya kerana gagal mencerminkan suasana hari raya yang sejati.
Benar juga. Tapi mungkin, itu juga sebahagian daripada strategi syarikat rakaman untuk menjadikan lagu ini lebih universal dan tidak dihasilkan semata-mata untuk lagu raya.
Raikan Raya – Syamel
Tak mahu kalah dengan isterinya, Ernie Zakri, penyanyi Syamel turut menghasilkan lagu raya baharunya sendiri, Raikan Raya, hasil ciptaannya bersama Iqie Hugh dan Omar K, manakala lirik oleh dirinya dan Omar K.
Lagu ini menyampaikan mesej bahawa kita haruslah bermaaf-maafan jika kita ada membuat salah atau menyimpan rasa pada sesiapa dan Syamel turut menyelitkan elemen drama, komedi dan tarian di dalam muzik videonya.
Malangnya, lagu ini agak lewat dilancarkan di platform YouTube iaitu pada 3 April lalu dan dalam tempoh itu ia baru sahaja meraih lebih 38,000 tontonan.
Cuti Raya – The Gadys
Nampaknya kritikan yang diterima The Gadys dalam satu persembahan di stesen televisyen tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kerjaya seni serta mengeluarkan lagu raya baharu.
Lagu ini juga mempunyai tema yang menarik kerana ia mengenai keluhan nasib orang yang bekerja dan tidak dapat pulang bercuti raya sehingga sanggup berjanji untuk kerja lebih masa semata-mata untuk mendapatkan cuti.
Bagaimanapun, sejak dilancarkan di platform YouTube pada 29 Mac lalu, lagu ciptaan Ja’a, Mage dan Glowrush ini hanya berjaya meraih lebih 42,000 tontonan.
Sinar Aidilfitri – Project Band
Bagi anda yang sukakan lagu bergenre rock, mungkin harus dengar lagu Sinar Aidilfitri daripada Project Band ini yang dicipta Jawa Suki, manakala lirik oleh Apit pb, Haziq pb, Wan Kira pb dan Zenal pb.
Mesej di sebalik lagu ini adalah tentang kerinduan pada seseorang yang ingin sekali ditemui dan memohon kemaafan atas segala salah dan silap. Lagu ini meraih lebih 1350,000 tontonan sejak dilancarkan di YouTube pada 18 Mac lalu.
Jom Pulang Raya – Sufian Suhaimi
Putus cinta dengan kekasih pada awal Ramadan lalu tidak menyebabkan Sufian Suhaimi patah semangat untuk terus tampil dengan karya lagu raya baharu. Bahkan, Sufian mengajak semua orang untuk pulang beraya pada tahun ini.
Walaupun lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen serta lirik oleh Sirkhan yang dinyanyikan ini mempunyai hook yang catchy, namun ia mengambil sedikit masa untuk mesra di halwa telinga. Ia berjaya meraih lebih 39,000 tontonan sejak dilancarkan di YouTube pada 29 Mac lalu.
Rindu Ayah Bonda – Syafiq Farhain & Yamani Abdillah
Mendengar lagu raya ini, ibarat mendengar sebuah lagu yang menggabungkan dua penyanyi legenda tanah air iaitu Allahyarham Saleem Iklim dan Datuk Jamal Abdillah dan tetapi sebetulnya dinyanyikan anak-anak mereka iaitu Syafiq Farhain dan Yamani Abdillah.
Kebetulan Jamal dan arwah Saleem pernah berduet dengan lagu Lambaian Aidilfitri sewaktu mereka sama-sama bernaung di bawah label Warner Music Malaysia.
Ibarat kesinambungan daripada lagu duet mereka, kini lagu Rindu Ayah Bonda ciptaan Ilham Iskandar disampaikan pula oleh Syafiq dan Yamani yang menjadi penyambung legasi mereka dalam dunia seni suara.
Lagu ini mengisahkan tentang kerinduan terhadap ayah dan bonda yang sudah lama pergi menyahut seruan Ilahi dan sejak ia dilancarkan di YouTube pada 26 Mac lalu, lagu ini berjaya meraih lebih 36,000 tontonan. – 7 April, 2024