KUALA LUMPUR – Menghasilkan filem komedi lebih sukar berbanding filem seram, hal ini diakui pengarah filem, Azaromi Ghozali apabila bercerita mengenai filem aksi komedi pertamanya, Leha yang bakal ditayangkan sempena Aidilfitri pada 11 April ini.
Menurut Azaromi atau lebih mesra disapa Romi, tidak seperti genre filem lain, dia perlu memastikan komedi yang disampaikan dalam filem tersebut dapat difahami penonton serta dapat menggeletek hati mereka.
“Kalau nak buat cerita air mata atau kisah seram, ia memang agak mudah. Namun jika filem komedi, ia sangat subjektif kerana bukan senang untuk buat penonton terhibur.
“Setiap orang ada citarasa tersendiri. Jadi tidak perlu hairan jika satu panggung ketawa, tiba-tiba seorang daripadanya langsung tidak senyum dan begitu juga sebaliknya apabila kita langsung tidak ketawa.
“Inilah cabaran terbesar buat diri saya untuk mengarahkan sebuah filem komedi seperti Leha. Tetapi saya menyahut cabaran ini kerana ingin penonton terhibur dengan lawak jenaka yang disampaikan secara tidak langsung dalam filem ini,” katanya.
Mengulas mengenai Leha, Azaromi berkata, dia cuba menghasilkan filem yang mengangkat golongan pengawal keselamatan sebagai hero dalam filem tersebut dengan sifat keberanian, tanggungjawab dimiliki serta pengorbanan besar dalam menjaga keselamatan orang awam.
“Ilham untuk mengangkat mereka tercetus apabila sering melihat sikap segelintir masyarakat yang suka memandang rendah serta remeh pekerjaan seseorang pengawal keselamatan.
“Walhal kerjaya pengawal keselamatan ini sebenarnya sangat penting dalam mengawal keselamatan di sesebuah kawasan atau premis daripada sebarang ancaman ataupun kemungkinan,” katanya.
Jelasnya lagi, usaha mengangkat taraf pengawal keselamatan ke satu tahap yang lebih tinggi adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya sebagai warga tempatan.
“Saya cuba mengangkat mereka ke satu tahap yang lebih tinggi agar masyarakat memandang mereka dengan persepsi berbeza kerana mereka punya keberanian tersendiri, selain mendapat latihan ala tentera. Pada saya, ia antara tarikan utama dalam filem ini.
“Boleh dikatakan filem Leha ini saya cetuskan sebagai satu penghargaan buat seluruh warga pengawal keselamatan dan seluruh ahli Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM),” katanya yang pernah menghasilkan dua filem seram sebelum ini iaitu Hospital dan Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.
Filem tersebut mengisahkan mengenai seorang gadis, Leha pekerja di sebuah kilang yang mengetahui rahsia di sebalik kes jenayah pemerdagangan manusia di tempat kerjanya.
Leha hampir diculik sekumpulan lelaki di depan kilangnya namun kejadian berkenaan disedari dua pengawal keselamatan iaitu Sani dan Khai yang berjaya menyelamatkannya.
Filem Leha terbitan syarikat produksi Alfanazra Productions itu menampilkan barisan pelakon popular seperti Ali Puteh, Kodi Rasheed, Dboy Hamdan, Silfeny Osman, Khir Rahman, Cat Farish, Deen Wahab, Ikhwan Khairudin, Bidin Al Zaifa dan ramai lagi. – 4 April, 2024