AMPANG – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, pihaknya sudah memperoleh peruntukan bagi melaksanakan kajian untuk menggubal Akta Muzik Malaysia, demi melindungi hak dan kepentingan karyawan serta kandungan muzik tempatan.
Bercakap kepada Scoop, Fahmi berkata, karyawan muzik khususnya penyanyi adalah penyedia konten paling banyak menyumbang dari sudut aspek penyiaran, terutama radio dan televisyen.
Maka, katanya, keperluan menggubal akta itu penting dan tidak hanya dilihat dari sudut kebajikan, malah bagi kemampanan industri.
“Awal tahun ini, saya sudah minta pihak kementerian buat kajian yang mana My Creative Ventures akan jadi satu daripada agensi peneraju yang banyak terlibat dengan aktiviti berkaitan artis industri kreatif, termasuk industri muzik.
“Kita sudah pun mohon sedikit peruntukan daripada pihak Kementerian Ekonomi untuk kita buat kajian ini dan ia dah diluluskan dan peruntukan itu pun sudah disalurkan.
“Jadi, dalam masa dua tahun ni, kita akan dapat buat satu akta lebih khusus untuk karyawan muzik, namun bagi menggubal sesebuah akta memang memakan masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Ziarah Seni Madani 2024 menampilkan penyanyi senior Zaiton Sameon.

Menurut Fahmi, bagi mempercepatkan proses penggubalan akta itu, pihaknya akan mewujudkan jawatankuasa Protem.
“Sebelum ini, saya sudah terima sejumlah cadangan mengenai perkara berkaitan dengan penggubalan akta ini.
“Tetapi, apakah proses awal yang harus dilakukan sebelum akta itu mula digubal? Harus ada keterlibatan orang industri, ahli akademik dan mereka terlibat dalam pelbagai peringkat untuk membantu memahamkan pihak kementerian aspek yang perlu ada dalam akta tersebut,” katanya.
Jelas Fahmi, di bawah Kementerian Komunikasi, ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang membantu karyawan atau pemain industri kreatif terbabit bidang perfileman.
“Tetapi, industri muzik selama ini kelihatan seperti ‘yatim piatu’. Tak tahu nak berpaut pada siapa dan tiada akta khusus.
“Dan, bidang penyiaran juga di bawah bidang kuasa kementerian. Menteri sebelum saya ada usaha, tapi Alhamdulillah kita dah mulakan proses itu tetapi seperti saya katakan, ia akan memakan masa dua tiga tahun.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penggubalan Akta Muzik Malaysia ini akan meliputi pelbagai aspek mengenai industri muzik tanah air dan syarikat rakaman antarabangsa yang bertapak di negara ini, selain isu pengagihan royalti serta badan pelesenan yang mengutip royalti.
“Mana-mana entiti yang mempunyai aspek perniagaan di dalam negara kita, mereka tertakluk kepada undang-undang negara. Bagi penggiat muzik yang menandatangani kontrak dengan label luar negara, ada beberapa aspek masih perlu ditekankan dalam konteks Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, mengenai badan royalti dan badan pelesenan pula, kementerinnya akan cuba mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan untuk memahami kekangan sebenar dihadapi.
“Kalau kita ambil contoh Zaiton Sameon sendiri, beliau tidak terlibat dengan Recording Performers Malaysia (RPM). Jadi, kita akan cuba lihat apa perlu kita lakukan untuk pastikan semua pemuzik atau penyanyi bernaung di bawah badan pelesenan ini.
“Di pihak kementerian pada tahun ini dan tahun lalu, melalui semua saluran radio dan TV, kita kumpulkan jumlah perlu kita bayar pada semua badan pelesenan ini.
“Saya juga sampaikan pada pihak kementerian lain supaya memanfaatkan artis tempatan dengan menggunakan lagu dan karya mereka dalam kempen atau acara tertentu, malah mereka perlu terlibat dalam proses membuat pembayaran,” katanya. – 4 April, 2024