Jadi artis pertama tercalon dalam anugerah berprestij Indonesia, Ernie Zakri bangga pencapaian Masing Masing

Pada acara anugerah SCTV Music Awards itu, Ernie tercalon dalam tiga kategori, iaitu Lagu Pop Paling Ngetop, Video Klip Paling Ngetop serta Kolaborasi Paling Ngetop

1:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Tahun 2024 nampaknya menjadi tahun cukup baik buat penyanyi Ernie Zakri apabila lagu nyanyiannya Masing Masing tercalon pada anugerah berprestij, SCTV Music Awards anjuran sebuah stesen televisyen di Indonesia.

Pada acara itu, Ernie Zakri tercalon dalam tiga kategori, iaitu Lagu Pop Paling Ngetop, Video Klip Paling Ngetop serta Kolaborasi Paling Ngetop menerusi gandingannya bersama pemuzik terkenal, Ade Govinda yang juga pencipta lagu Masing Masing.

Lebih membanggakan, lagu kolaborasi antara Universal Music Malaysia dan MyMusic Records yang digubah dan ditulis Ade bersama Nabila V ini, menduduki tangga teratas carta stesen radio di kedua-dua negara, iaitu GEN98.7 FM Jakarta di Indonesia serta Best FM dan Era FM di Malaysia.

Ernie yang juga pemenang Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2022 berkata, dia bersyukur dan bangga kerana lagu Masing Masing diterima baik peminat di Indonesia.

“Saya sangat gembira kerana lagu saya sampai ke Indonesia. Sungguh menggembirakan melihat lagu ini bergema dengan pendengar di sana. Terima kasih Indonesia kerana menerima Masing Masing dan menjadikannya melonjak di carta radio anda,” katanya menerusi kenyataan media.

Bagi Ade Govinda, kolaborasi bersama Ernie adalah pengalaman cukup manis dan hebat.

“Saya juga mewakili MyMusic Records, sangat gembira mendengar khabar lagu karya saya berjudul Masing Masing yang dinyanyikan dengan indah oleh Ernie Zakri berjaya menduduki tempat pertama di kebanyakan carta radio Indonesia dan Malaysia.

“Semoga kolaborasi ini boleh membawa penyanyi lain juga untuk bekerjasama antara dua negara dengan hasil membanggakan. Terima kasih pendengar Indonesia dan Malaysia yang sudah menikmati lagu Masing Masing,” katanya.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, pihaknya bangga atas pencapaian cemerlang Ernie sebagai seorang daripada artis Malaysia di negara berkenaan.

“Pencapaian terbaru ini membuktikan sekali lagi bakat Malaysia mempunyai apa diperlukan untuk menembusi pasaran muzik serantau dan global.

“RIM akan meneruskan usahanya untuk memupuk kerjasama saling menguntungkan antara bakat Malaysia dan Indonesia. Tahniah diucapkan kepada Ernie, Ade Govinda dan Universal Music Malaysia atas kejayaan manis ini,” katanya.

Masing Masing juga dipilih sebagai lagu pembuka cerita dan single pertama dalam album perdana Ernie iaitu Aura. – 26 Mac, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related