KUALA LUMPUR – Demi pengarah Uchee Fukada, pelakon Hafreez Adam sanggup menerima tawaran membintangi drama bersiri, Malang Si Puteri pada saat-saat akhir, biarpun kesuntukan masa membuat persiapan menjayakan watak Sulaiman.
Bercakap kepada Scoop, Hafreez berkata, dia bersetuju kerana yakin dengan kemampuan Uchee dalam membantunya mencorak karakter Sulaiman agar nampak lebih menjadi dan berkesan.
“Bila dia jelaskan kepada saya mengenai watak Sulaiman, saya jadi lebih teruja kerana watak itu lain daripada apa yang pernah saya bawakan sebelum ini.
“Watak Sulaiman memerlukan saya untuk berjalan tempang. Jadi, saya kena buat kajian, bagaimana cara berjalan tempang dan apa yang membuatkan dia tempang.
“Malangnya, saya tak jumpa pun kajian macam mana nak jalan tempang. Jadi, Uchee beritahu saya, mengenai cara jalan, kita boleh cuba cetuskan.
“Kalau tentang punca menyebabkan dia tempang, ia disebabkan kedudukan tulang pada badan dan saya kena bengkokkan sikit badan saya ketika berjalan,” katanya.
Hafreez atau nama sebenarnya, Hafrezz Adam Aizat Zahalan juga mengakui, pada awalnya dia agak gementar apabila diberitahu Raja Azura atau Kak Engku bakal menjadi ibunya dalam drama bersiri 50 episod itu.
“Dia seorang pelakon legenda yang hebat dan saya tahu kebolehan dimilikinya. Sebab itu saya rasa takut bila dapat tahu dia akan jadi ibu saya.
“Tapi, selepas menjayakan beberapa babak, saya dapat melihat betapa telitinya Kak Engku dengan karakter sekeliling.
“Maksud saya, dia tak hanya menjaga karakter dirinya untuk kelihatan menyinar, tetapi dia turut menjaga karakter orang lain supaya turut menyerlah sama. Itu yang saya sangat-sangat suka,” katanya.
Dedah Hafreez lagi, semangat dan mood untuk menjayakan watak Sulaiman sememangnya datang daripada Kak Engku.
“Saya memang beruntung kerana dapat bekerja dengan pelakon yang bagus seperti Kak Engku serta Fasha Sandha sendiri sebagai watak utama dalam drama ini.
“Saya terjun ke dunia lakonan tanpa ilmu secara formal. Saya tak pernah belajar di Aswara atau masuk kelas lakonan.
“Jadi, saya sentiasa ambil peluang untuk belajar memperbaiki diri. Kalau kita tak mahu belajar, mencari atau terima ilmu, kita akan jadi sama sahaja.
Malang Si Puteri terbitan Radius One sudah mula ditayangkan di Astro Ria sejak 11 Mac lalu.
Drama itu turut dibintangi Raja Azura, Fasha Sandha, Wan Raja, Aidit Noh dan Malek McCrone. – 19 Mac, 2024