KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai artis popular Korea Selatan, Han So Hee dan Ryu Jun Yeol berpacaran semakin kencang diperkatakan.
Meskipun agensi yang dinaungi mereka telah mengeluarkan kenyataan mengenainya namun ia tidak mengesahkan atau menafikan gosip berkenaan.
Ia sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kebenaran gosip terbabit, yang tercetus selepas kedua-duanya kelihatan di Hawaii.
“Ya betul Ryu Jun Yeol kini berada di Hawaii untuk sesi fotografi. Namun kami berharap anda memahami dan menghormati bahawa ia adalah lawatan peribadinya.
“Pada masa depan, kami tidak akan menjawab lagi setiap khabar angin melibatkan hal peribadinya, harap anda faham,’’ kata agensi pengurusan Jun Yeol.
Gosip itu bermula apabila seorang netizen dari Jepun menulis di Instagramnya mengenai artis popular Korea sedang bermesra dan duduk bersebelahan dengannya di kolam renang hotel.
Malah, katanya pasangan itu tidak segan silu menunjukkan kemesraan di khalayak ramai.
Dia turut menyertakan hashtag ‘Reply 1988’ dan ‘Nevertheless’’ yang kemudian menjadi tular pada pagi Jumaat lalu. Namun hantaran itu dipadamkan.
Jun Yeol popular menerusi ‘Repy 1988’ (2015-2016) manakala So Hee memegang watak utama dalam ‘Nevertheless’ (2021).
Sementara itu, Hyeri, bekas teman wanita Jun Yeol selama tujuh tahun, telah ‘unfollow’ Instagram aktor tersebut.
Hubungan mereka bermula ketika sama-sama berlakon dalam Reply 1988 pada 2017.
Pasangan itu berpisah pada November tahun lalu dan tidak mendedahkan puncanya. – 15 Mac, 2024