KUALA LUMPUR – Kemenangan Amir Jahari dalam Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) menerusi lagu ciptaannya, Hasrat baru-baru ini turut membuatkan Hafiz Suip berasa bangga dan tumpang gembira.
Apatah lagi mereka berdua adalah artis kelahiran Sarawak dan sama-sama pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro.
“Saya rasa memang dia layak untuk menang dengan lagu itu. Sebab saya tahu dan kenal Amir. Kami dah borak sama-sama. Saya juga pernah satu pentas dengan dia di AJL27 pada 2012.
“Saya pernah rasa dia akan menang. Amir Jahari seorang anak seni yang bagus kerana dia boleh buat segalanya. Dia boleh menyanyi, dia boleh menulis dan dia boleh mencita lagu.
“Definisi sebenar anak seni itu ada pada Amir Jahari dan pada malam AJL38, saya sudah dapat jangka dia akan menang dan saya rasa semua orang juga merasainya,” katanya kepada Scoop.
Dalam perkembangan lain, Hafiz masih sibuk mempromosikan single baharunya, Terus Bersinar yang mula dilancarkan pada 30 Ogos 2023.
Bahkan, dia juga turut terlibat dalam konsert By Ajai & Mega Friends yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Ogos ini.
“Saya bersyukur dijemput oleh komposer dan penyanyi Ajai untuk terlibat di dalam konsert ini. Saya memang teruja.
“Mengenai perancangan untuk kembali semula ke pentas AJL, Insya-Allah. Kita tengok macam mana nanti. Apa yang penting, saya akan terus berkarya demi peminat saya,” katanya.
Hafiz, 34, menyertai AF7 pada 2009 dan muncul sebagai juara, manakala Amir pula tidak berjaya meraih sebarang kedudukan pada AF9.
Namun, Amir kini membuktikan dia juga boleh berdiri setanding dengan rakan-rakan AF lain yang sudah berjaya seperti Akim Ahmad, Stacy, Hazama serta Hafiz sendiri. – 10 Mac, 2024